38 pelajar istimewa tamat pengajian

38 pelajar istimewa tamat pengajian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Seramai 38 orang pelajar berkeperluan khas yang berjaya menamatkan pembelajaran pra-vokasional di sekolah-sekolah menengah kerajaan selama lima tahun, telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil-Sijil Program Pra-Vokasional sesi 2011-2015.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian para pelajar yang menurutnya cukup menggalakkan.

Kementerian Pendidikan, ujarnya, akan terus memberi sokongan dan galakan kepada sekolah-sekolah untuk meneruskan inisiatif seperti mengeluarkan hasil-hasil atau produk pelajar itu sendiri seperti menternak ikan, hasilan kuih-muih dan bakeri, tanaman projek padi serta sayur-sayuran, kraf tangan, pembuatan pasu daripada kertas dan lain-lain lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan ucapan sempena majlis penyampaian sijil.
Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan ucapan sempena majlis penyampaian sijil.
Seorang pelajar menerima sijil daripada tetamu kehormat.
Seorang pelajar menerima sijil daripada tetamu kehormat.
Pameran hasil produk pelajar istimewa mendapat sambutan daripada para pelancong.
Pameran hasil produk pelajar istimewa mendapat sambutan daripada para pelancong.

Beliau juga menyeru ahli komiti peringkat sekolah atau ‘School Based Team’ sekolah masing-masing supaya dapat meningkatkan lagi kerjasama dan kolaborasi di antara semua ahli terutama sekali para ibu bapa atau penjaga kerana mereka ini mempunyai peranan yang penting dalam perkembangan dan pendidikan anak-anak mereka.

Dalam ucapannya itu, beliau juga melahirkan rasa syukur apabila seramai 230 orang pelajar berkeperluan khas dari pada lepasan program pra-vokasional sejak tahun 1999 telah beroleh pekerjaan, dan antara jenis-jenis pekerjaan yang diceburi termasuk pembantu pejabat, pembantu restoran, percetakan, perhotelan dan ‘housekeeping’.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada institusi-institusi dan pihak swasta yang sama-sama menyokong dan memberikan peluang kepada anak-anak tempatan terutama sekali mereka yang berkeperluan khas.

Sementara itu, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, selaku pengerusi majlis, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad berkata, berasaskan kepada ketetapan yang pernah dibuat oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Negara Brunei Darussalam, Sijil Pra-Vokasional keluaran Kementerian Pendidikan diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) sebagai memenuhi tahap pengajian Tahun 9, iaitu peringkat Menengah 3.

“Sekurang-kurangnya Kementerian Pendidikan memberi peluang persekolahan mereka selama lima tahun ini diiktiraf bagi persediaan untuk memohon pekerjaan,” tambah beliau.

Majlis berkenaan diteruskan dengan tetamu kehormat melawat petak pameran produk-produk hasil para pelajar Program Pra-Vokasional dari 27 buah sekolah menengah di negara ini.

Antara produk yang dipamerkan termasuk hasil kraf tangan, beg, bantal, dan banyak lagi. Produk-produk berkenaan juga telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai dan juga pelancong yang datang ke kompleks berkenaan.

Program ini merupakan salah satu daripada pelbagai program pembelajaran dan perkhidmatan bantuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk memenuhi pelbagai keperluan khas pelajar sekalis gus memantapkan sistem pendidikan inklusif negara ini.

Menerusi dasar pendidikan inklusif ini, ia memberikan peluang yang sama rata mengikut keupayaan para pelajar termasuk pelajar berkeperluan khas untuk mendapat akses kepada pendidikan seperti rakan sebaya mereka selaras dengan konsep antarabangsa iaitu Pendidikan untuk Semua.

Program Pra-Vokasional ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan dan kemahiran sosial para pelajar dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keyakinan dan harga diri para pelajar berkenaan agar dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA