38 pelajar Universiti Al-Azhar diraikan dalam majlis konvokesyen

38 pelajar Universiti Al-Azhar diraikan dalam majlis konvokesyen

Oleh Siti Lizawati Mhd

 

KAHERAH, 28 Sept – Seramai 38 orang graduan negara telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Graduan Brunei Darussalam sesi 2015/2016 di Dewan Azhar Conference Centre (ACC), Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, di sini, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dr. Syeikh Ibrahim Al Hud Hud. Turut hadir dalam majlis tersebut Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Mesir, Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin dan para pegawai kedutaan serta jemputan-jemputan khas.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada pelajar tahun empat Universiti Al-Azhar, Awang Hazwan bin Haji Salim, dan diikuti oleh ucapan alu-aluan daripada wakil graduan, Awangku Haji Mohd Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin dan Dr. Syeikh Ibrahim Al Hud Hud.

Para graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Graduan Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir.
Para graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Graduan Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir.

Sijil kemudian disampaikan oleh tetamu kehormat kepada 19 orang graduan penerima Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Syariah, lima orang Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Usuluddin, dua orang penerima Ijazah Sarjana dalam Jurusan Syariah dan Usuluddin Falsafah Islamiyyah sementara 12 graduan penerima Ijazah Sarjana Muda Ma’had Qiraat Shoubra.

Majlis kemudian diakhiri dengan Doa Penutup yang dibacakan oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

ARTIKEL YANG SAMA