38 warga emas maut kebakaran

38 warga emas maut kebakaran

BEIJING, 26 Mei – Kejadian kebakaran di sebuah rumah penjagaan warga emas di wilayah tengah China mengorbankan kira-kira 38 orang, menurut para pegawai hari ini, dengan keadaan mayat dalam keadaan rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti dan kerusi-kerusi roda menjadi rangka yang hangus.

Kebakaran berlaku petang semalam di sebuah bangunan pangsapuri di rumah orang tua milik peribadi yang terletak di Pingdingshan, lapor agensi berita kerajaan, Xinhua.

“Mayat-mayat hangus teruk, kami tidak dapat mengenali siapa mereka,” Xinhua memetik seorang anggota keluarga mangsa sebagai berkata mengenai proses pengecaman.

Gambar-gambar yang dimasukkan ke online menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang dari belakang stesen minyak berhampiran bangunan itu.

Satu lagi gambar memaparkan rangka bangunan yang telah hangus, dengan kerusi roda yang hangus terbakar diberi penumpuan utama.

Anggota bomba dan pemadam membuat pemeriksaan bangunan pusat penjagaan warga emas yang ranap dalam kebakaran di daerah Luxian di Pingdingshan, wilayah tengah Henan pada 26 Mei 2015. – AFP
Anggota bomba dan pemadam membuat pemeriksaan bangunan pusat penjagaan warga emas yang ranap dalam kebakaran di daerah Luxian di Pingdingshan, wilayah tengah Henan pada 26 Mei 2015. – AFP

“Hanya diri saya dan seorang lagi rakan sebilik berjaya menyelamatkan diri,” mangsa terselamat Zhao Yulan, 82 tahun, yang berkongsi bilik dengan 11 orang lagi, memberitahu Xinhua.

Agensi itu melaporkan kediaman itu mempunyai 51 orang penghuni dan kebakaran telah berjaya dipadamkan kurang sejam selepas ia mula berlaku.

Dua orang yang tercedera berada dalam kritikal di hospital, biro keselamatan kerja wilayah tengah Henan berkata dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Punca kebakaran masih tidak jelas.

Kemalangan industri dan kebakaran adalah lumrah di China, yang mana penguatkuasaan piawaian keselamatan boleh tidak ketat, dengan beberapa hartanah dan para pemilik perniagaan memberi rasuah kepada pegawai yang korup untuk mencari jalan lain. – AFP