38 warga Vietnam didenda

38 warga Vietnam didenda

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Sebutan untuk 38 orang warga Vietnam yang berdepan pertuduhan memasuki perairan Brunei untuk menangkap ikan secara haram terganggu seketika di Mahkamah Majistret, hari ini, apabila seorang daripada mereka mengadu tidak sihat.

Mahkamah telah menghubungi ambulans untuk bersedia di luar mahkamah untuk sebarang kemungkinan memandangkan seorang lagi daripada mereka tidak dapat hadir untuk sebutan kerana terkena penyakit tuberkulosis.

Dalam bilik mahkamah, suasana dipenuhi oleh mereka yang memakai topeng untuk mengelak daripada terkena jangkitan di mana 36 warga Vietnam telah menukar pengakuan tidak bersalah kepada ‘bersalah’.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli telah menjatuhi denda $10,000 bagi setiap ketua kru kapal, dan jika gagal membayar denda itu hari ini, mereka diperintahkan untuk menjalani 10 bulan penjara.

Manakala itu, kru-kru kapal dijatuhi denda $1,000 setiap seorang, dan jika gagal membayar akan berdepan dua bulan penjara.

Dalam kes itu, dua orang ketua kru kapal iaitu Dang Thanh Phong, 42, dan Truong Van Dien, 29, bersama kru-kru kapal seramai 36 orang berdepan dakwaan menangkap ikan secara haram di perairan negara ini.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kapal berasingan pada 31 Ogos 2016, dan didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim mengikut Seksyen 17(1) Perintah Perikanan 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 17(2) yang sama iaitu bagi pemilik kapal dan ketua kru, denda tidak melebihi $100,000, penjara untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala itu, hukuman untuk setiap kru ialah denda tidak melebihi $2,500, penjara yang tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

ARTIKEL YANG SAMA