382 peserta khatam dirai

382 peserta khatam dirai

Oleh Hjh Saemah Kepli

 

SERIA –  Baru-baru ini seramai 382 peserta Program Satu Minggu Satu Juzuk yang terdiri daripada 185 orang pelajar lelaki dan 197 orang pelajar perempuan Darjah Pra hingga Darjah 5 Sekolah-sekolah Ugama Daerah Belait, telah mengkhatamkan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran dan diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Pusat Insani di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Juga hadir ialah isteri beliau, Dayangku Hajah Radiah binti Pengiran Haji Tahir.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah khatam yang bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam.

Sementara itu, bacaan Doa Selamat pula dibacakan oleh Guru Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Mohd Khairuddin bin Haji Meraji.

Majlis turut diserikan dengan acara merenjis minyak wangi kepada para peserta.

Antara tetamu yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid peserta Program Satu Minggu Satu Juzuk yang telah mengkhatamkan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Antara tetamu yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid peserta Program Satu Minggu Satu Juzuk yang telah mengkhatamkan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Lebih 300 orang murid-murid Sekolah-sekolah Ugama Daerah Belait menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Pusat Insani baru-baru ini.
Lebih 300 orang murid-murid Sekolah-sekolah Ugama Daerah Belait menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Pusat Insani baru-baru ini.

m6-khatam-al-quran2_02122016

Program Satu Minggu Satu Juzuk merupakan satu program yang menjurus kepada pembacaan Al-Quran oleh murid-murid secara konsisten dan berterusan pada setiap hari selepas waktu persekolahan secara bertalaqqi yang dipimpin oleh guru kelas dan guru Al-Quran sekolah ugama masing-masing.

Program tersebut mula diperkenalkan sejak Februari lalu dan telah dilaksanakan di 143 buah sekolah ugama di seluruh negara bagi memantapkan lagi pembacaan Al-Quran dan meningkatkan lagi jumlah murid-murid yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, sekali gus dapat menggalakkan mereka untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam jangka masa 30 minggu waktu persekolahan.

Program yang berakhir pada Ogos lalu itu juga adalah sebagai sokongan dan menjunjung tinggi hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Hari Guru Ke-10, di mana pendidikan ugama khususnya Al-Quran peringkat asas perlu dititik beratkan agar ia kukuh dan mantap.

ARTIKEL YANG SAMA