Kecewa tidak diberi cenderamata

Kecewa tidak diberi cenderamata

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Seorang penganggur yang kecewa kerana tidak diberi cenderamata ketika berkunjung ke hari pertama majlis ‘Istana Terbuka’ terlepas daripada menjalani hukuman penjara dua minggu setelah membayar denda $500 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, semalam.

Zulhazmi bin Haji Masri, 22, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain kerana membuat kekacauan awam dengan mengganggu salah seorang petugas yang memberi ‘cenderamata’ dan pengunjung lain di bankuet awam Istana Nurul Iman, pada 7 Julai 2016 sekitar jam 10:12 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman denda.

Fakta kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria menyebut, defendan berkunjung ke Istana Nurul Iman untuk menghadiri majlis junjung ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selepas makan, defendan kemudian berbaris untuk mendapatkan cenderamata sempena kunjungan, namun tidak diberi oleh petugas kerana tidak mempunyai kupon.

Defendan diminta untuk berbaris sekali lagi bersama pengunjung lain namun cenderamata tetap tidak diberi kerana dia masih tidak mempunyai kupon.

Defendan yang kecewa terus menjerit dengan kata-kata kurang enak kepada petugas itu dan menghentakkan kakinya beberapa kali. Defendan ditahan anggota polis yang bertugas sebelum sempat meninggalkan kawasan bankuet awam.

ARTIKEL YANG SAMA