388 titik panas dikesan

388 titik panas dikesan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu yang disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di Kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari barat daya menuju ke sini.

Imej satelit yang diterima daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) hari ini, menunjukkan sebanyak 388 titik panas telah dikesan di sebelah barat dan tengah Kepulauan Borneo.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataan berkata, kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara di keempat-empat daerah adalah tinggi berbanding hari-hari biasa.

Bagaimanapun, pada keseluruhannya kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam di tahap baik kepada sederhana.

Bacaan indeks pencemaran (PSI) pada jam 5.00 petang ini, menunjukkan kualiti udara di Daerah Brunei dan Muara, Belait dan Temburong dalam keadaan baik dengan bacaan PSI 45, 47 dan 28 masing-masing, sementara itu kualiti udara di Daerah Tutong adalah sederhana dengan PSI 52.

Pemandangan di ibu negara sekitar jam 5.00 petang kelmarin menunjukkan keadaan sedikit berjerebu. – Gambar oleh Muiz Matdani
Pemandangan di ibu negara sekitar jam 5.00 petang kelmarin menunjukkan keadaan sedikit berjerebu. – Gambar oleh Muiz Matdani

Bagaimanapun, di negeri jiran Sarawak, tiga kawasan iaitu Sri Aman, Samarahan dan Kuching mencatat bacaan PSI tidak sihat. Sehingga jam 7 malam ini, Sri Aman merekodkan bacaan PSI 124; Samarahan (121) dan Kuching (113).

Bacaan PSI kurang daripada 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana, bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan orang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum air yang mencukupi dan berjumpa doktor di pusat kesihatan sekiranya terdapat kesan-kesan kesihatan seperti batuk-batuk, selesema, mata yang pedih dan susah bernafas.

JASTRe berkata, ia sentiasa memantau situasi dari semasa ke semasa dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB dan laman web jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumput dan hutan, selain itu, orang ramai juga digesa untuk melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan di talian Hotline 995.

Orang ramai bolehlah menghubungi JASTRe untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai kualiti udara di talian Hotline Darussalam 123 dan 2241262 sambungan 405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn setiap dua jam.

Maklumat dan nasihat kesihatan yang lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di talian Healthline 145 semasa waktu bekerja atau dengan melayari www.moh.gov.bn.

Manakala, maklumat mengenai ramalan kaji cuaca boleh diperolehi dengan melayari laman web Jabatan Kaji Cuaca, Kementerian Perhubungan di www.met.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA