39 bangunan Felda terjejas dilanda ribut

39 bangunan Felda terjejas dilanda ribut

MARAN, 11 Julai – Sekurang-kurangnya 39 buah bangunan di Felda Jengka 6 di sini rosak akibat dilanda ribut selama 15 minit petang semalam.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Maran, Penolong Penguasa Shamsul Afendy Sulaiman berkata setakat pagi ini pihaknya menerima laporan kerosakan membabitkan rumah peneroka, pejabat Felda, sekolah, premis perniagaan dan bangunan JKKR.

“Jumlah kerosakan premis kediaman dan awam dijangka meningkat apabila kerja-kerja bancian pembersihan sedang giat dilaksanakan oleh penduduk dengan bantuan beberapa agensi.

“Kejadian ribut berlaku sekitar pukul 5.15 petang dan diikuti hujan lebat serta angin kencang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Shamsul Afendy berkata sebahagian besar rumah dan bangunan rosak akibat bumbung diterbangkan.

Kerja pembersihan dilakukan melibatkan antaranya pihak bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Felda manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan bancian untuk menentukan jumlah kerugian.

Ketua Kampung Felda Jengka 6, Saharudin Lela berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan pantas menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian itu. – Bernama