39 kanak-kanak Penan selesai ikuti program pendidikan

39 kanak-kanak Penan selesai ikuti program pendidikan

KUCHING, 16 Nov – Sebanyak 39 kanak-kanak Penan dari Murum di pedalaman Sarawak baru-baru ini selesai mengikuti program pendidikan selama lapan bulan di bawah Program Celik Huruf bagi Keterangkuman Sosial yang diperkenalkan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program itu disusun khusus untuk kanak-kanak Penan yang ketinggalan dari segi kemahiran membaca dan dilaksanakan di SK Tegulang, satu daripada dua sekolah rendah yang dibantu dibina SEB di kawasan Skim Penempatan Semula Murum.

SEB dalam kenyataan di sini hari ini berkata program itu direka khusus bagi membantu kanak-kanak berkenaan menguasai kemahiran membaca, mengeja dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di samping membantu mereka mendapat keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ia dikendalikan Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk) dan dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta Jabatan Pendidikan Sarawak. Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat SEB Jiwari Abdullah menyampaikan sijil penyertaan kepada pelajar yang selesai mengikuti program itu pada majlis khas di Long Wat, Murum baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Kanan bagi Pelaburan Sosial dan Pembangunan Masyarakat SEB Joanne Tan Cho Yian, Presiden DASwk Dr Ong Puay Hoon, Guru Besar SK Tegulang Anu Garing dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Penan Murum (MPDC) Labang Paneh.

Menurut Dr Ong, program itu bertujuan membolehkan masyarakat Penan mencapai tahap yang setanding dengan masyarakat lain dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata tahap celik huruf dalam kalangan kanak-kanak Penan boleh dikatakan masih rendah, disertai kadar tinggi dari segi ketidakhadiran di sekolah, keciciran dan pencapaian rendah dalam peperiksaan. Sokongan SEB itu adalah sebahagian daripada CRS berterusannya terhadap masyarakat yang terjejas oleh pembinaan Loji Hidroelektrik Murum, khususnya kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah dengan sempurna berikutan gaya hidup separa nomad yang menjadi amalan ibu bapa mereka.

Inisiatif CSR SEB dalam bidang pendidikan untuk masyarakat yang tinggal di kawasan penempatan semula Murum bermula pada 2012 dengan pelaksanaan Program Celik Huruf Penan Murum, yang kini membolehkan lebih 300 orang dewasa Penan tahu membaca, menulis dan mengira. – Bernama