39 mangsa bot karam diselamatkan

39 mangsa bot karam diselamatkan

MAKASSAR, Indonesia, 20 Dis (dpa) – Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 39 mangsa yang selamat dan dua orang yang maut daripada sebuah bot penumpang yang tenggelam di bahagian tengah Indonesia setelah dipukul ombak besar, dan bergelut dengan cuaca buruk hari ini untuk sampai kepada berpuluh-puluh orang lain yang masih hilang.

Bot kaca gentian itu sedang dalam perjalanan dari Kolaka ke Siwa, bandar di pulau Sulawesi, dengan 110 penumpang dan 12 krew apabila ia dipukul ombak setinggi lebih tiga meter ketika cuaca ribut pada petang semalam, kata Roki Asikin, ketua agensi mencari dan menyelamat di Makassar, ibu negeri wilayah Sulawesi Selatan.

Enam bot menyelamat dan kapal dihantar dari Kendari dan Makassar selepas mereka menerima satu panggilan kecemasan daripada krew yang melaporkan kapal mulai tenggelam kira-kira 21 kilometer dari tenggara pelabuhan Siwa di daerah Wajo, kata Asikin.

Penumpang termasuk 14 orang kanak-kanak, kata beliau.

Awal hari ini, nelayan menemui empat orang, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak memakai jaket keselamatan. Mereka memberitahu pihak berkuasa bot mereka tenggelam beberapa jam selepas dipukul ombak tinggi. Jurucakap Kementerian Pengangkutan Julius Barata berkata 21 orang lain ditemui kemudian oleh sebuah bot lain daripada syarikat yang sama dengan feri yang tenggelam.

Dua anggota mencari dan menyelamat membantu seorang kanak-kanak (kanan) yang berjaya diselamatkan di Siwa dalam kejadian nahas bot penumpang di perairan Indonesia di pulau of Sulawesi pada 20 Disember 2015. – AFP
Dua anggota mencari dan menyelamat membantu seorang kanak-kanak (kanan) yang berjaya diselamatkan di Siwa dalam kejadian nahas bot penumpang di perairan Indonesia di pulau of Sulawesi pada 20 Disember 2015. – AFP

“Laporan terbaru yang kami terima berkata seramai 25 orang, 23 orang yang selamat dan dua maut – telah pun ditemui, dan sedang dipindah ke Siwa,” kata Barata.

Gambar televisyen menunjukkan berpuluh ahli keluarga menunggu untuk orang kesayangan mereka di pelabuhan Siwa.Kemalangan bot Indonesia telah membunuh beratus orang dalam beberapa tahun ini. Bot selalunya dipenuhi ramai penumpang dan peraturan keselamatan tidak dikuatkuasakan dengan baik. Negara besar itu mempunyai lebih 17,000 pulau dengan 250 juta penduduk, dan bot adalah pengangkutan yang popular dan murah.

ARTIKEL YANG SAMA