39 pelajar ku...

39 pelajar kunjungi stadium negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Rombongan seramai 39 pelajar Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, semalam, telah mengadakan lawatan ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Lawatan rombongan pelajar yang mengambil Sijil Tinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTec) dalam Perjalanan dan Pelancongan itu diketuai oleh dua orang tenaga pengajar, Dayang Siti Khadizah binti Haji Omar dan Dayang Siti Umi Amirah binti Haji Ra’emi Maleek.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IBTE, hari ini, lawatan berkenaan bermatlamat untuk memberikan pandangan positif yang realistik mengenai tarikan-tarikan pelancong sebagai sebahagian daripada tugasan Modul Warisan Negara.

“Lawatan ini akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar untuk membantu mereka membayangkan kemudahan-kemudahan dan aktiviti yang disediakan di tempat-tempat tarikan berkenaan,” Dayang Siti Khadizah dipetik sebagai berkata.

Semasa lawatan itu, taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pembantu Pengurus Kemudahan Stadium dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Jaffar bin Haji Masin.

Gambar ramai rombongan pelajar dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal ketika lawatan tersebut.
Gambar ramai rombongan pelajar dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal ketika lawatan tersebut.

Para pelajar berpeluang untuk meninjau sekitar Stadium Negara Hassanal Bolkiah, termasuk galeri stadium, bilik snuker, bilik-bilik VIP, bilik-bilik mesyuarat dan padang stadium.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk melihat apa yang ditawarkan.

Tenaga-tenaga pengajar berkenaan memberitahu, mereka juga ingin mewujudkan hubungan perindustrian dengan tarikan-tarikan lain untuk mengadakan lawatan-lawatan berpendidikan bagi meningkatkan lagi pengetahuan pelajar mengenai tempat-tempat menarik yang terdapat di Brunei.

“Ini akan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai perancangan dan menghasilkan risalah tempat-tempat tarikan pelancong,” ujar Dayang Siti Umi Amirah.