39 pengamal media tawan Gunung Pulaq

39 pengamal media tawan Gunung Pulaq

MANILA, 29 Julai – Seramai 39 pengamal media dari beberapa negeri berjaya menakluk Gunung Pulaq, Baguio dalam ekspedisi selama enam hari bermula 24 Julai lepas.

Program anjuran Kelab Rekreasi dan Kebajikan Media Pahang yang turut disertai oleh 16 pengamal media Pahang, Perak, Putrajaya, Terengganu dan Kuala Lumpur itu merupakan kali kelima seumpamanya pernah diadakan.

Presiden Kelab Media Pahang Datuk Nik Naizi Husin berkata program kali ini turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan Maritim Malaysia.

“Program tahunan ini diadakan untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan media supaya tidak hanya terkongkong dengan tugasan harian.

“Malah kita turut melibatkan beberapa agensi kerajaan lain dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin selama ini,” katanya selepas majlis penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta di sini, malam tadi.

Penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta disempurnakan oleh Atase Pertahanan Kedutaan Malaysia di Filipina Kolonel Hamzah Ali.

Turut serta dalam ekspedisi itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin dan Pakar Otorinolaringologi Ho-shas Dr Eshamsol Kamar.

Selain itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Selangor, Md Ali Ismail juga bersama-sama menyertai ekspedisi menawan Gunung Pulaq yang berketinggian 2,926 meter itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA