3K FT ‘B’ juara futsal MBB

3K FT ‘B’ juara futsal MBB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Kedua-dua pasukan 3K FT bertemu di perlawanan akhir Kejohanan Futsal anjuran Majlis Belia Brunei (MBB) 2015 yang berkesudahan 5-5 pada masa sebenar tetapi memihak 3K FT ‘B’ 11-10 dalam sepakan penalti penentuan.

Pada kejohanan yang berlangsung di Dewan Hangar, Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Airport Lama, Berakas berkenaan, PES memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Belia Kampung Tungku/Katok ‘B’ dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. 3K FT ‘B’ layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan PES dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua, manakala saudaranya, 3K FT ‘A’ mara ke perlawanan akhir menerusi kemenangan 2-1 ke atas Belia Kampung Tungku/Katok ‘B’ dalam perlawanan separuh akhir pertama.

Kejohanan tiga hari dari 4 hingga 6 Disember berkenaan hanya dibukakan kepada pemain berusia 15-40 tahun, dan sejumlah 25 buah pasukan telah menyertainya.

Pasukan-pasukan dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang masing-masing mengandungi tiga pasukan dan satu kumpulan yang mengandungi empat pasukan. Hanya dua pasukan daripada setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati.

Profesor Madya Dr. Haji Hashim (empat kanan) bergambar ramai bersama pasukan 3K FT ‘B’ (biru) dan 3K FT ‘A’ (merah) selaku juara dan naib juara.
Profesor Madya Dr. Haji Hashim (empat kanan) bergambar ramai bersama pasukan 3K FT ‘B’ (biru) dan 3K FT ‘A’ (merah) selaku juara dan naib juara.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga, dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga pasukan terbaik kejohanan ialah Yang Di-Pertua MBB, Profesor Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.

Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima piala, pingat, sijil dan wang tunai masing-masing $300, $200 dan $100.

Antara lain tujuan kejohanan itu adalah bagi mengutip dana untuk MBB, membuka peluang kepada para belia menunjukkan bakat dalam sukan futsal, menyediakan aktiviti berfaedah
untuk pelajar sewaktu cuti penggal persekolahan, menggalakkan belia mengamalkan gaya hidup sihat dan mengeratkan silaturahim melalui sukan.

ARTIKEL YANG SAMA