3P sertai Pesta Payung di Solo

3P sertai Pesta Payung di Solo

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Budaya unik Negara Brunei Darussalam khususnya persembahan tarian dan nyanyian mengenai Kampong Ayer akan diketengahkan dan diperkenalkan oleh delegasi Persatuan Penyanyi, Pemuzik & Penggerak Seni (3P), yang buat kali pertama menyertai Pesta Payung Indonesia 2016 yang bakal berlangsung di Taman Balekambang, Solo, Indonesia bermula 23 hingga 25 September.

Delegasi dari Negara Brunei Darussalam, terdiri daripada 10 orang ahli Persatuan 3P, diketuai oleh Yang Di-Pertua Persatuan 3P, Hajah Saadiah binti Haji Ghazali dan turut disertai oleh Penasihat Agung Persatuan 3P, Mejar (B) Haji Manaf bin Haji Khamis.

Delegasi berkenaan akan menyertai delegasi-delegasi dari negara-negara Asia yang lain termasuk Eropah dalam pelbagai kegiatan yang diatur sepanjang pesta tiga hari yang membawa tema ‘Sky Umbrella, Exploring Indonesia’.

Dalam temu bual ringkas Media Permata bersama Hajah Saadiah di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan memberi bantuan kepada Persatuan 3P untuk sama-sama menyertai pesta yang penuh bermakna itu.

Delegasi seramai 10 orang daripada Persatuan 3P, Negara Brunei Darussalam, diketuai oleh Hajah Saadiah (lima dari kanan), berlepas untuk menyertai buat julung-julung kalinya, Pesta Payung Indonesia 2016, Solo, Indonesia.
Delegasi seramai 10 orang daripada Persatuan 3P, Negara Brunei Darussalam, diketuai oleh Hajah Saadiah (lima dari kanan), berlepas untuk menyertai buat julung-julung kalinya, Pesta Payung Indonesia 2016, Solo, Indonesia.

Penyertaan Persatuan 3P, buat kali pertama dalam pesta berkenaan, memberikan peluang kepada para delegasi untuk mengenali dengan lebih dekat peranan payung dalam budaya masyarakat Indonesia, mengenali budaya masyarakat di Solo, Indonesia serta memperkenalkan lagi budaya unik masyarakat Brunei kepada para peserta pesta berkenaan.

Beliau menerangkan bahawa semasa pesta itu, delegasi Persatuan 3P diberikan peluang untuk mempersembahkan nyanyian lagu Kampong Ayer dan juga tarian, yang menunjukkan kehidupan masyarakat Kampong Ayer khususnya Padian.

Selain daripada itu, delegasi Persatuan 3P juga akan menyertai Bengkel Payung di mana persatuan berkenaan diberikan peluang untuk menyampaikan pembentangan mengenai payung kebesaran diraja Brunei.

Pesta Payung Indonesia 2016 merupakan pesta payung ketiga yang diadakan dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan negara-negara antarabangsa serta untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Indonesia untuk memelihara tradisi payung masyarakat Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA