4.2 juta daftar sertai Hari Sukan Negara

4.2 juta daftar sertai Hari Sukan Negara

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) – Sebanyak 4.2 juta rakyat Malaysia berdaftar untuk menyertai 17,648 acara yang akan diadakan di seluruh negara sempena Hari Sukan Negara esok, menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy berharap semua yang terlibat menyertai setiap aktiviti dengan semangat kesukanan yang tinggi sekali gus menjadikan Malaysia negara bersukan dan sihat serta rakyat yang bersatu padu.

“Saya harap angka ini menjadi kenyataan cuma mungkin kerisauan utama kita adalah cuaca. Ramalan bagi hari esok baik cuma kita tak tahu arah angin mungkin boleh berubah pada bila-bila masa.

“Kita sudah keluarkan garis panduan kepada semua penganjur aktiviti berkenaan mengenai tahap IPU (Indeks Pencemaran Udara) dan apa yang mereka perlu buat sekiranya ia melepasi 100 atau 150,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Garmin MP Step Challenge, di sini hari ini.

Sebanyak 46 anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang menyahut cabaran menyertai program kecergasan itu yang berlangsung tiga minggu bermula 11 Sept sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara.

ARTIKEL YANG SAMA