4 anggota renjer cedera serangan bom

4 anggota renjer cedera serangan bom

PATTANI, 15 April (Bernama) – Empat anggota renjer cedera termasuk dua parah apabila sebutir bom buatan sendiri meletup ketika mereka sedang melakukan rondaan di Yarang, Pattani pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Yarang, Kolonel Polis Somboon Puang-malai berkata bom seberat 15kg itu dipasang dalam tong gas dan diletak di tepi jalan raya sebelum diletupkan menggunakan walkie-talkie.

“Kekuatan letupan bom tersebut menyebabkan kerosakan teruk kepada kenderaan dinaiki anggota renjer itu serta beberapa rumah berhampiran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Ketua Renjer ke-41 Kolonel Sittipong Jenbanjong berkata anggota keselamatan menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan militan dalam operasi bersepadu di Kampung Sadawa, Yarang pagi tadi.

Dalam operasi pada 5 pagi itu, katanya pasukan keselamatan menahan Hassan Kamok, 29, yang mempunyai tiga waran tangkap selain dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian serangan oleh kumpulan militan.

Lelaki terbabit menafikan kesemua tuduhan itu dan kini ditahan di Kem Ingkayuthaborihan untuk siasatan lanjut, katanya.