4 Atlet SOBD berlepas ke Singapura

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Atlet-atlet Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD) bertekad untuk membawa pulang pingat dan sekali gus mengharum nama negara apabila mereka beraksi mewakili Negara Brunei Darussalam ke Sukan Kebangsaan Special Olympics Singapura ke-9 yang bermula pada 19 hingga 22 Mei ini.

Sehubungan dengan itu, kontinjen dari SOBD yang terdiri daripada empat orang atlet iaitu dua orang atlet olahraga dan balapan, Muhd Haziman Azrul bin Nurudin dan Esremy bin Luas serta dua orang atlet badminton iaitu Josepeswandy Bukoh anak Tan dan Mohd Nor Salihin bin Dahlan bersama dua orang jurulatih iaitu Awang Salim bin Haji Puteh dan Haji Hamdan bin Ajak serta ketua kontinjen, Awang Adanan bin Musim, berlepas ke Singapura, hari ini. Sebelum kontinjen berkenaan berlepas, majlis penyerahan bendera negara telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang menyaksikan Presiden SOBD, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut menyerahkan bendera negara kepada Awang Adanan.

Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata bahawa kontinjen SOBD yang menyertai sukan di Singapura itu terdiri daripada atlet-atlet baru, di mana ia memberikan peluang kepada atlet-atlet baru itu menimba pengalaman bersaing di pertandingan luar negara.

Usaha itu, ulasnya, adalah dengan harapan untuk mendidik atlet-atlet berpotensi sebagai atlet negara di masa akan datang.

Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli (kanan) menyerahkan bendera negara kepada Awang Adanan dengan disaksikan oleh para atlet dan jurulatih SOBD.
Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli (kanan) menyerahkan bendera negara kepada Awang Adanan dengan disaksikan oleh para atlet dan jurulatih SOBD.