4 bank asing dapat lesen Myanmar

4 bank asing dapat lesen Myanmar

YANGON, 6 Mac (AFP) – Empat buah bank asing telah diberikan kelulusan untuk beroperasi di Myanmar, lapor media negeri hari ini, percubaan terbaru kerajaan untuk menarik pelaburan luar negara ke negara membangun itu.

Sistem perbankan negara ditutup selama beberapa dekad kepada persaingan luar di bawah pemerintahan junta, meninggalkan negara dipenuhi dengan infrastruktur kewangan yang lemah dan penduduk yang amat meragui bank.

Namun ia mulai berubah beransur-ansur sejak pemerintahan tentera membuka laluan kepada kerajaan reformis pada 2011 yang memulakan pilihan raya bersejarah pada November lalu.

Keempat-empat bank yang telah diberikan kelulusan awal adalah Bank Pelaburan dan Pembangunan Vietnam, Bank Komersial E SUN Taiwan, Bank Shinhan Korea Selatan dan Bank Negeri India, kata akhbar Global New Light Myanmar, memetik Bank Pusat Myanmar.

Sebanyak 13 bank asing telah diberikan kebenaran untuk beroperasi di negara Asia Tenggara.

Kebanyakannya masih dalam proses memenuhi peraturan sebelum membuka cawangan tetapi ada di antaranya telah beroperasi.

Pada April tahun lalu, Tokyo-Mitsubishi UFJ Jepun (BTMU) menjadi bank asing pertama dalam beberapa dekad yang membuka sebuah cawangan di Myanmar. Di antara bank lain yang telah membuka cawangan adalah Sumitomo Mitsui Banking Corporation Jepun (SMBC) serta Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC) Singapura.

Kebanyakan bank asing yang telah memohon lesen datang dari rantau Asia-Pasifik. Pemerintah tentera Myanmar memiliknegarakan kesemua bank apabila mereka merampas kuasa pada 1962 tatkala mereka melaksanakan dasar sosialis yang akan menyebabkan ekonomi merosot selama hampir setengah abad.

Penduduk tempatan masih keberatan mengamalkan sistem perbankan itu dan ramai yang berurusan dengan wang tunai.

Pihak berkuasa telah melaksana perubahan politik dan ekonomi dalam beberapa tahun ini yang telah melihat kebanyakan sekatan Barat dibatalkan, membuka negara kepada pelaburan antarabangsa baru.

Kerajaan yang disokong tentera dan Liga Demokrasi Nasional pimpinan Aung San Suu Kyi telah berikrar akan menambah aliran modal kepada perniagaan tempatan dan merangsang pelaburan. Bank Dunia telah berkata firma memetik kemudahan mendapatkan kewangan sebagai halangan utama untuk menjalankan perniagaan di Myanmar.

ARTIKEL YANG SAMA