4 bidang Perintah Pelancongan 2016 diperkenalkan

4 bidang Perintah Pelancongan 2016 diperkenalkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan undang-undang baru yang dikenali sebagai Tourism Order 2016 atau Perintah Pelancongan 2016 yang telah berkuat kuasa mulai 26 Oktober 2016.

Menurut Pegawai Pelancongan, Nor Irrafidah binti Haji Ismail semasa ditemui di mesyuarat pertama Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pagi tadi, menjelaskan bahawa perintah ini meliputi empat bidang utama iaitu Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam, Pelesenan Ejen Pelancongan, Pelesenan Pemandu Pelancong dan Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong.

Pelesenan Ejen Pelancongan ini jelasnya bertujuan untuk melesenkan ejen pelancongan dan mengawal operasi mereka.

Sementara itu, bagi Pelesenan Pemandu Pelancong termasuk menyediakan apa-apa arahan, maklumat, penerangan atau penjelasan kepada pelancong semasa mengiringi pelancong dalam atau ke suatu tempat yang menarik di negara ini.

Karam Chand (kanan) dan Yann Ai Lo ketika ditemui pada mesyuarat tersebut.
Karam Chand (atas) dan Yann Ai Lo (bawah) ketika ditemui pada mesyuarat tersebut.

Bidang ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran panduan pelancongan dan etika daripada pemandu pelancong di samping untuk memberikan maklumat yang betul dan boleh dipercayai mengenai tempat-tempat menarik di Negara Brunei Darussalam secara umum.

Beliau juga menjelaskan bahawa bidang Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong adalah bertujuan bagi menentukan penjelasan mana-mana premis penginapan pelancong untuk pendaftaran.

Manakala menurut salah seorang ahli Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Diraja Brunei, Karam Chand, bahawa dalam usaha untuk meningkatkan lagi pelancongan di negara ini, sebagai sebuah syarikat penerbangan negara, sektor pelancongan adalah amat dititik beratkan.

“Di masa akan datang, syarikat ini akan terus mengembangkan operasi kami di pasaran semasa kami tetapi kami juga akan melihat pasaran baru di Asia Utara (North Asia) seperti Zhengzhou, China. Dengan ini, kami akan dapat meningkatkan lagi kapasiti penerbangan yang lebih baik,” jelas beliau.

Selain itu, RB juga telah mengumumkan penerbangan terus ke Korea dan ini juga akan dapat menarik lebih banyak pelancong untuk berkunjung ke negara ini.

Selain itu, ia juga mempunyai pelan perniagaan lima tahun, di mana RB akan menambah tujuh buah pesawat Airbus dan Boeing bermula pada akhir tahun depan.

Manakala itu, menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Agensi-agensi Pelancongan Brunei Darussalam (ATAB), Yann Ai Lo bahawa sebuah jawatankuasa baru telah ditubuhkan bagi Persatuan Ejen Pelancongan Brunei dengan Presiden barunya, Haji Sabli bin

Haji Arshad. Jawatankuasa ini akan beroperasi selama tiga tahun sehingga jawatankuasa baru dipilih.

ARTIKEL YANG SAMA