4 blok rumah pekerja lading kelapa sawit musnah terbakar

4 blok rumah pekerja lading kelapa sawit musnah terbakar

KINABATANGAN, 23 Jun (Bernama) – Empat blok rumah pekerja ladang kelapa sawit musnah dalam satu kebakaran di Ladang Genting, Jalan Mewah, Kampung Lokan dekat sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Rosmadian Majid berkata sebuah jentera bersama 14 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.40 pagi.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata anggota bomba tiba di lokasi kejadian 27 minit kemudian dan api sudah memusnahkan keseluruhan rumah pekerja yang mempunyai enam pintu bagi setiap blok itu.

Beliau berkata jarak sejauh 21 kilometer ke lokasi kejadian dan jalan tidak rata menyebabkan anggota lambat tiba.

Rosmadian berkata semua pekerja dan keluarga mereka sempat menyelamatkan diri dan bomba masih menyiasat punca serta anggaran kerugian.