4 diberkas berkaitan pembunuhan

4 diberkas berkaitan pembunuhan

SYDNEY, 7 Okt (AFP) – Empat orang diberkas di Australia hari ini berhubung pembunuhan yang berkaitan keganasan ke atas seorang kakitangan polis selepas serbuan bersepadu oleh lebih 200 orang pegawai ke atas kediaman di Sydney.

Mereka yang diberkas dalam operasi waktu subuh itu berusia antara 16 dan 22 tahun dan akan disoal siasat berhubung pembunuhan Curtis Cheng pada Jumaat lalu di luar ibu pejabat polis negeri New South Wales di barat bandar itu.

Farhad Jabar, 15 tahun yang menurut pihak berkuasa lahir di Iran dan berketurunan Iraq dan Kurdis dan tidak mempunyai sejarah jenayah sebelumnya, telah menembak lelaki berusia 58 tahun itu di belakang kepalanya sementara dilaporkan melaungkan slogan agama.

Remaja itu ditembak mati dalam kejadian tembak menembak dengan konstabel khas polis tidak lama selepas itu.

Laporan itu mengatakan rumah tiga lelaki yang diberkas hari ini sebelum ini menjadi sasaran serbuan mencegah keganasan terbesar Australia setahun lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dan pegawai (kanan) keluar dari rumah empat orang yang telah ditangkap atas pembunuhan keganasan mengaitkan seorang pekerja polis selepas serbuan lebih daripada 200 pegawai ke atas hartanah di seluruh Sydney hari ini. - AFP
Polis Persekutuan Australia (AFP) dan pegawai (kanan) keluar dari rumah empat orang yang telah ditangkap atas pembunuhan keganasan mengaitkan seorang pekerja polis selepas serbuan lebih daripada 200 pegawai ke atas hartanah di seluruh Sydney hari ini. – AFP

Timbalan Pesuruhjaya New South Wales Catherine Burn mengesahkan bahawa sebilangan mereka yang ditahan dikenali oleh pihak polis tetapi enggan mengulas lebih lanjut tentang hubungan mereka dengan Jabar.

“Masa akan dengan jelas menceritakan tentang apakah kaitan mereka yang membawa kepada kejadian Jumaat lalu itu,” katanya, dengan menambah kata Jabar tidak dalam sasaran mereka.

“Kami mendapat begitu banyak maklumat yang sebenarnya telah kami teliti. Sama ada atau ia menyebabkan itu, saya tidak tahu pada masa ini.”

Ditanya jika pihak polis mempunyai andaian bahawa remaja itu tidak bertindak bersendirian, dia menjawab “Kami pasti ada rasa curiga dia tidak bertindak sendirian.”

Semalam, seorang pelajar yang juga belajar di sekolah yang sama dengan Jabar telah diberkas dan didakwa berhubung penghantaran ke media sosial yang mengancam polis, dengan rumahnya telah digeledah dan dua komputer riba telah dirampas.

Dia juga didakwa menyerang dan mengugut polis dan melawan ketika ditangkap apabila dia ditahan dalam perjalanannya ke Sekolah Tinggi Arthur Philip, berhampiran tempat berlakunya penembakan.