4 dikenakan perintah kehadiran wajib bersihkan kawasan rumah

4 dikenakan perintah kehadiran wajib bersihkan kawasan rumah

KOTA KINABALU, 1 Ogos – Empat individu dikenakan denda perintah kehadiran wajib selama satu bulan iaitu tidak melebihi empat jam sehari untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan meletak/membuang/melonggokkan sampah di kawasan bawah bidang kuasa Dewan

Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurazi Ahmad, 66, Norain Lamilah, 53, Mohd Diah Omar, 61, dan Norsidah Garingan, 57, setelah keempat-empat tertuduh mengaku bersalah di bawah Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Antisampah Sarap, Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

Bagi memastikan kempat-empat tertuduh melaksanakan hukuman berkenaan, Ainul Shahrin memerintah kesemua tertuduh membayar wang jaminan RM2,000 dan wang itu akan dikembalikan sekiranya mereka gagal mematuhi perintah itu.

Ainul Shahrin turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Salma, 29, keranatidak hadir pada perbicaraan itu hari ini dan pegawai pendakwa DBKK Latizah Latip memaklumkan bahawa Salma telah merobohkan rumahnya di Kampung Sembulan sejak 26 Julai dan tidak dapat dihubungi sehingga perbicaraannya hari ini.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 23 Julai lalu, kira-kira 9 pagi, di Kampung Sembulan.

Sebelum memulakan prosiding itu hari ini, Ainul Shahrin pergi ke Kampung Sembulan bagi melihat sendiri rumah kelima-lima tertuduh berkenaan.

Mereka yang menghadapi tuduhan kesalahan meletak/membuang/melonggokkan sampah kawasan bidang kuasa DBKK boleh didenda hingga RM10,000 dan dalam kes kesalahan berlanjutan boleh dikenakan denda RM500 setiap hari kesalahan itudilakukan, jika sabit kesalahan.

Namun mahkamah meringankan hukuman keempat-empat tertuduh kerana mendapati kawasan rumah mereka telah dibersihkan. – Bernama