4 dikurangkan tempoh hukuman

4 dikurangkan tempoh hukuman

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Mahkamah Rayuan, baru-baru ini, telah mengurangkan tempoh hukuman dari 17 tahun kepada 15 tahun penjara ke atas seorang lelaki tempatan yang disabit terhadap kesalahan mengedar dadah.

Ahmad bin Haji Mahmud, pada 14 Januari 2016, telah disabit oleh Mahkamah Perantaraan kerana memiliki 34.44 gram Methylamphetamine untuk tujuan mengedar.

Hakim Mortimer yang bersidang bersama Hakim Burrell dan Hakim Seagroatt memutuskan untuk mengurangkan dua tahun dari tempoh hukuman atas alasan Ahmad dijatuhi hukuman selepas tiga tahun dia diberkas.

“Penangguhan dan tempoh yang lama untuk mendakwa tertuduh selepas diberkas tidak dapat diterima,” kata hakim.

pg06_160601_mahkamah logo2

Sementara itu, dua lagi lelaki tempatan yang dijatuhi penjara atas beberapa kesalahan mencuri dan menceroboh turut mendapat perhatian Mahkamah Rayuan apabila permohonan pengurangan hukuman mereka dibenarkan.

Pengiran Roni Ferra bin Pengiran Ramli yang terdahulu dijatuhi tujuh tahun dan lapan bulan penjara bagi sembilan kesalahan kini dikurangkan kepada enam tahun dan empat bulan penjara, namun hukuman enam kali sebatan masih dikekalkan.

Mohammad Ali Akbar bin Jufri yang sebelumnya dijatuhi lapan tahun dan lapan bulan penjara atas 15 pertuduhan, dikurangkan kepada enam tahun dan lapan bulan penjara, namun empat sebatan ke atasnya masih dikekalkan.

Hakim Mortimer, Hakim Burrell dan Hakim Conrad ketika bersidang membenarkan pengurangan itu kerana berpendapat tempoh pemenjaraan yang dijatuhi ke atas kedua-duanya sebagai titik permulaan hukuman adalah tinggi.

Manakala itu, Aizuddin bin Mat Salleh warga tempatan yang dijatuhi penjara enam tahun pada 2014 atas kesalahan menceroboh dan mencuri, kini boleh menarik nafas lega apabila rayuannya untuk mendapatkan pengurangan hukuman turut diluluskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim John Barry Mortimer yang bersidang bersama Hakim Burrell dan Hakim Seagroatt memutuskan Aizuddin menjalani tiga tahun dan sembilan bulan penjara sahaja, bermula pada tarikh dia dijatuhi hukuman pada 21 Ogos 2014.

Ketiga-tiga hakim berpendapat hukuman yang dijatuhi sebelumnya gagal mematuhi dasar hukum secara keseluruhan.

Hukuman mestilah selaras dengan hukuman yang telah dijatuhi ke atas rakan sejenayahnya yang terlibat dalam kes yang sama, kata hakim.

ARTIKEL YANG SAMA