4 ditahan terima deposit tanpa lesen

4 ditahan terima deposit tanpa lesen

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, telah menahan empat individu atas kesalahan menerima deposit tanpa lesen di bawah Bab 93 Perintah Perbankan 2006 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi $10,000,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan bersama Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan siasatan awal melalui kerjasama di antara kedua-dua agensi itu menunjukkan individu-individu tersebut telah mengumpul sejumlah wang yang banyak melalui promosi satu platform dagangan emas yang dikenali sebagai Dinar Dirham. Individu tersebut menyatakan bahawa peserta akan menerima pulangan di antara 8-15 peratus sebulan. Memandangkan penyiasatan sedang dilaksanakan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk membantu pihak polis dan bekerjasama dalam penyiasatannya.

AMBD mengesahkan bahawa Dinar Dirham dan entiti yang berkaitan dengannya tidak dilesenkan di Brunei Darussalam untuk menawarkan perkhidmatan kewangan.

AMBD ingin mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati apabila ingin menyertai mana-mana skim pelaburan atau transaksi kewangan. Orang ramai juga dinasihatkan untuk terlebih dahulu mengesahkan kesahihan skim-skim pelaburan yang ditawarkan dan meneliti risiko yang berkemungkinan timbul daripada melabur dalam skim tersebut. Jika syarikat tersebut berada di luar negara, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan dengan pihak berkuasa di luar negara sama ada ia dilesenkan.

AMBD ingin sekali lagi mengingatkan bahawa pengguna kewangan yang ingin melibatkan diri dalam skim-skim pelaburan yang tidak dilesenkan oleh AMBD, pengguna kewangan tersebut tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir oleh AMBD. Rangka kerja penyeliaan AMBD adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan pelabur-pelabur dengan memastikan hanya institusi/individu yang berkelayakan boleh memberikan perkhidmatan kewangan kepada orang ramai.

Senarai nama individu-individu dan institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui aplikasi AMBD, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau dengan melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA