4 ditembak bantah PM

4 ditembak bantah PM

SYDNEY, 8 Jun – Polis di Papua New Guinea (PNG) melepaskan tembakan ke arah pelajar-pelajar yang mengadakan bantahan terhadap perdana menteri (PM) hari ini, dengan para saksi mengatakan kira-kira empat orang telah ditembak.

Para pelajar terlibat dalam pertikaian sebulan dengan pihak berkuasa dan telah memboikot kelas-kelas ketika mereka menuntut Perdana Menteri Peter O’Neil mengundurkan diri ekoran tuduhan rasuah.

Para saksi berkata pertempuran meletus di bandar Port Moresby ketika para pelajar bersiap sedia untuk berarak dari Universiti PNG menuju parlimen yang mana di situ O’Neil dijangka berdepan dengan undi tidak percaya.

Pengkempen anti rasuah Noel Anjo Kolao, yang membantu mengaturkan bantahan itu mengatakan bahawa pihak polis telah membuat sekatan jalan raya dan mengacukan senapang mereka ke arah para pelajar.

“Kemudian mereka mula melepaskan tembakan ke arah pembantah,” ujarnya kepada AFP melalui telefon, dengan mengatakan dia telah melihat beberapa orang pelajar tercedera.

Kepulan asap kelihatan di kawasan bertentangan Universiti Papua New Guinea ketika orang ramai berjalan keluar dari kampus berikutan perhimpunan bantahan daripada para pelajar di Port Moresby pada 8 Jun. – AFP
Kepulan asap kelihatan di kawasan bertentangan Universiti Papua New Guinea ketika orang ramai berjalan keluar dari kampus berikutan perhimpunan bantahan daripada para pelajar di Port Moresby pada 8 Jun. – AFP

“Kita mempunyai dua set undang-undang di Papua New Guinea, satu undang-undang untuk perdana menteri dan satu lagi untuk warganegara biasa.”

Penyiar PNG, EMTV melalui Twitter mengatakan empat orang telah ditembak selepas laporan awal yang mengatakan lapan orang pelajar telah dimasukkan ke hospital, tiga dalam keadaan kritikal.

Menteri luar Australia mengesahkan bahawa pelajar-pelajar itu telah ditembak, manakala Washington mengatakan, pihak polis telah menggunakan gas pemedih mata ke atas para pembantah.

Tetapi ketua doktor kecemasan Hospital Port Moresby Sam Yockopua menafikan laporan dalam media Australia bahawa empat orang telah terbunuh.

“Dua orang mengalami cedera parah manakala dua orang lagi mengalami masalah kecil. Tidak ada kematian,” dia memberitahu surat khabar Post Courier PNG.

Jabatan kecemasan hospital memberitahu AFP ia tidak dibenarkan memberikan butiran tentang para pesakit. Polis di Port Moresby tidak mempunyai sebarang ulasan segera. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA