4 juara angkat berat Sukan Olimpik positif doping

4 juara angkat berat Sukan Olimpik positif doping

BUDAPEST, Hungary, 16 Jun (AP) – Empat pemenang pingat emas angkat berat Olimpik dari Kazakhstan berdepan penggantungan selepas pengujian semula sampel doping mereka dari Sukan Olimpik 2012.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa berkata bahawa empat penyandang pingat emas itu dalam kalangan 10 atlet dari lima negara bekas Soviet yang sampelnya diuji positif bagi bahan-bahan terlarang dalam pengujian semula yang dijalankan oleh Majlis Olimpik Antarabangsa.

Empat orang tersebut termasuk juara 94 kilogram lelaki, Ilya Ilyin, dan pemegang pingat emas wanita, Zulfiya Chinshanlo (kelas 53 kilogram), Maiya Maneza (63 kilogram) dan Svetlana Podobedova (75 kilogram).

Jika keempat-empat mereka hilang kelayakan, Kazakhstan akan gugur dari tangga 12 ke tangga 23 dalam senarai pungutan mata London 2012.

Tiga lagi pemegang pingat diuji positif: Apti Aukhadov dari Rusia, yang memenangi perak kelas 85 kilogram; Yuliya Kalina dari Ukraine, gangsa 58 kilogram; dan Marina Shkermankova dari Belarus, gangsa 69 kilogram.

ARTIKEL YANG SAMA