$4 juta peruntukan bagi tangani masalah banjir

$4 juta peruntukan bagi tangani masalah banjir

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

pg01_160316_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Masalah banjir dikira salah satu masalah yang agak serius, oleh itu, dalam keadaan kewangan negara pada masa ini, sebanyak $4 juta telah pun disediakan sebagai peruntukan bagi tujuan menangani masalah banjir di negara ini.

Berhubung dengan masalah banjir di kawasan Tanjong Maya, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah bahawa memaklumkan beberapa kaji selidik telah pun dibuat dalam kalangan penduduk yang terlibat sama ada mereka mahu untuk berpindah ke perumahan Bukit Beruang.

Hasil daripada kaji selidik itu mendapati lebih 90% daripada penduduk tersebut tidak berhajat untuk berpindah atas sebab-sebab tersendiri, ujarnya semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Ja’afar semasa sesi Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang, hari ini.

Manakala itu, mengulas mengenai proses penukaran milik tanah yang dibangkitkan beberapa orang ahli MMN, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin berkata, proses berkenaan telah menunjukkan pembaikan yang ketara daripada segi tempoh kebenaran yang diperolehi dan ia akan diperbaiki lagi pada masa akan datang.

Menjawab persoalan Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid mengenai permohonan memiliki rumah dalam jangka masa tidak melebihi lima tahun menjelang tahun 2021 bagi setiap daerah, Menteri Pembangunan menjelaskan bahawa matlamat ini telah tercapai dan dapat dilihat di Daerah-daerah Tutong, Temburong dan Belait, tetapi bagi Daerah Brunei dan Muara pula tempoh menunggu ialah lebih kurang 12 tahun.

“Isu ini perlulah diambil kira mengikut kesesuaian kaedah sekarang dari segi perlaksanaan Skim Perumahan Negara ini sama ada kita akan terus menerus dengan cara kita sekarang ini dan menghadapi isu kemapanan ataupun kita fikirkan semula cara yang lebih mampan.”

Antaranya, mengukuhkan syarat-syarat untuk penerima rumah-rumah ini terutamanya dengan menekankan kepada mereka yang benar-benar berkeperluan. Jika ini dilaksanakan, ia akan dapat mengawal pengurusan pemberian tanah dan ia akan juga mempercepatkan proses berkenaan, tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA