4 kakitangan JKR bersalah pecah amanah

4 kakitangan JKR bersalah pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Empat lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah.

Pengiran Harun bin Pengiran Haji Damit, 61, Haji Ghazali bin Haji Metusin, 53, Ali bin Karim, 42 dan Jeffri bin Omar, 43 yang merupakan kakitangan di Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa melakukan pecah amanah terhadap barang milik kerajaan yang bernilai $10,000 antara Disember 2007 dan Mac 2008.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman denda $2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas Pengiran Harun sementara Haji Ghazali, Ali dan Jeffri, masing-masing dikenakan $1,500 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pemangku Majistret Kanan memberi tempoh tiga bulan kepada kesemua tertuduh untuk membayar denda.

Kesemua tertuduh mengaku melakukan pecah amanah dengan mengambil beberapa barang di dalam stor Tasek Lama antara Disember 2007 dan Mac 2008, dan menjualnya kepada Pengurus Hock Liong Plumbing dan juga kedai besi buruk di Kampung Kilanas, yang mana hasil jualan dibahagikan di antara mereka.

Barangan tersebut berupa 157 unit paip keluli tahan karat, 58 unit tron jubin gelap, dua unit pili bomba, 49 unit check valve, 76 unit Elbow CXMI, 19 unit soket CXFI, tiga unit Tee CXCXC, 25 unit CXMI Couple, 25 unit CXMI Coupler dan 36 unit Tee CXCXC yang telah dapat ditemui semula.