4 kedai runcit musnah terbakar

4 kedai runcit musnah terbakar

SEMPORNA, 8 Julai – Empat unit kedai runcit di Kampung Simunul di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.49 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, satu pasukan bomba terdiri daripada dua jentera dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi,” kata kenyataan itu.

Sebaik pasukan bomba dan penyelamat tiba pada pukul 3.54 pagi, api telah marak namun dapat dikawal daripada merebak ke kawasan lain pada pukul 4.11 pagi dan padam sepenuhnya pukul 6.24 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat. – Bernama