4 keluarga terima bantuan Yayasan

4 keluarga terima bantuan Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Empat buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di beberapa buah kampung di seluruh negara baru-baru ini, telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Majlis penyerahan sumbangan berjumlah $14,100 keseluruhannya itu telah diadakan di Ibu Pejabat Yayasan Jalan Kumbang Pasang, hari ini, dan disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Sumbangan itu diterima oleh ketua keluarga bagi mangsa-mangsa kebakaran iaitu Hajah Zaliha binti Haji Safar (Kampung Sungai Paku, Tutong); Awang King Chiew Phang (Perumahan Kampung Rimba); Awang Anuar bin Abdullah dan Dayang Norhani binti Mohammad Salleh (Kampung Kenua, Jalan Temada, Temburong).

Kesemua penerima melahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima sumbangan tersebut termasuk Hajah Zaliha ketika ditemui berkata, beliau bercadang menggunakan sumbangan itu untuk membeli kelengkapan rumah dan persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Haji Brahim ketika menghulurkan sumbangan Yayasan kepada salah seorang mangsa kebakaran rumah.
Haji Brahim ketika menghulurkan sumbangan Yayasan kepada salah seorang mangsa kebakaran rumah.
Hajah Zaliha ketika ditemu bual tidak menyangka akan menerima sumbangan daripada pihak Yayasan dan merasa bersyukur kerana sumbangan berkenaan akan dapat meringankan beban.
Hajah Zaliha ketika ditemu bual tidak menyangka akan menerima sumbangan daripada pihak Yayasan dan merasa bersyukur kerana sumbangan berkenaan akan dapat meringankan beban.

Menurutnya lagi, dengan adanya sumbangan itu, ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa sedih yang masih bersisa, walaupun kejadian ini sudah berlalu sebulan lalu.

“Dalam kejadian ini, saya dan suami saya terpaksa menumpang di rumah saudara oleh kerana sebahagian rumah perlu diperbaiki dan memandang suami kini mengidap penyakit buah pinggang terpaksa saya menguruskan semua urusan yang ada,” ujarnya.

Tambah Hajah Zaliha lagi, walaupun agar sukar menerima kejadian yang berlaku namun beliau tetap bersyukur kerana ada hikmah dan hidayahNya di sebalik apa yang menimpanya.

Sumbangan itu merupakan bantuan yang dilaksanakan secara berterusan sebagai salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan iaitu untuk memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah.

ARTIKEL YANG SAMA