4 keluarga terima sumbangan generator

4 keluarga terima sumbangan generator

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Ogos – Bagi membantu mempertingkatkan mutu kehidupan dan keselesaan hidup para mualaf, Pusat Dakwah Islamiah melalui Unit Kebajikan Mualaf, Bahagian Pembangunan Mualaf, baru-baru ini, telah menyampaikan bantuan enjin generator kepada empat buah keluarga mualaf dari kampung pedalaman di Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan enjin generator berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid dan isteri.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa; Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar; Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat dan penghulu Mukim Ukong dan Rambai bersama ketua-ketua kampung.

Haji Harun menyerahkan enjin generator kepada antara keluarga mualaf yang tinggal di kampung pedalaman Daerah Tutong.
Haji Harun menyerahkan enjin generator kepada antara keluarga mualaf yang tinggal di kampung pedalaman Daerah Tutong.

Sebelum majlis penyerahan diadakan, para rombongan dari Pusat Dakwah Islamiah berkunjung ke rumah para penerima bantuan berkenaan, yang terdiri daripada Dayang Alinah binti Abdullah @ Alalinah anak Banta di Kampung Kuala Ungar, Awang Muhammad Razif Syukri bin Abdullah @ Rusian bin Lawi di Kampung Long Mayan, Awang Muhammad Hamdani Abdullah Anah @ Semnilan bin Anah dan Awang Mohammad Jofri bin Abdullah @ Jofri bin Apoi di Kampung Bukit.

Dari tahun 2014 hingga Februari 2016, sebanyak 19 unit enjin generator telah pun diserahkan kepada mualaf-mualaf di seluruh negara.

Adapun objektif bantuan ini adalah untuk membantu mempertingkatkan mutu kehidupan dan keselesaan hidup para mualaf, yang mana perkara ini merupakan salah satu metode dakwah kepada bukan Muslim dalam memperlihatkan usaha pemedulian Pusat Dakwah Islamiah kepada para mualaf di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA