4 kes kemalangan maut direkodkan sejak Januari

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Empat kes kemalangan yang melibatkan korban jiwa telah dilaporkan sejak 1 Januari 2018 hingga 22 Februari 2018, dan daripada jumlah itu, dua kes berlaku di Daerah Brunei dan Muara, satu kes di Daerah Belait dan satu lagi di Daerah Tutong.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya menjelaskan, kes maut itu melibatkan seorang lelaki dan dua orang perempuan tempatan serta seorang perempuan warga asing.

Kes pertama yang berlaku pada 28 Januari 2018 adalah kes kemalangan sendiri, melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 24 tahun di KM 68 Lebuh Raya Muara Tutong.

Sementara itu, kes kedua berlaku berhampiran Simpang 1683 Tanjung Nangka Jalan Tutong pada 30 Januari 2018 yang melibatkan sebuah kereta yang dipandu oleh warga emas, Abdullah bin Haji Apong, 55 tahun yang melanggar pejalan kaki, perempuan warga asing.

Kes ketiga berlaku pada 17 Februari 2018 di Jalan Estate Gadong yang melibatkan dua buah kereta, di mana seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut.

Hadir semasa sidang media semalam ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Kawalan dan Lalu lintas, Penguasa Kanan Polis Radin Jofri bin Radin Mas Basiuni.

Kemalangan berpunca daripada salah sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipandu Victor Chiuh Vui Ted, penduduk tetap berusia 20 tahun, dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Pemandu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26(1), memandu dalam keadaan mabuk yang membawa hukuman denda $10,000 dan penjara dua tahun. Pemandu juga disiasat di bawah Seksyen 27(1), memandu secara melulu atau berbahaya dan mengakibatkan kematian di bawah akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 yang membawa hukuman denda $20,000 dan penjara tujuh tahun.

Sementara itu, kes keempat berlaku pada 21 Februari 2018 di Jalan Nakhoda Ragam Kuala Belait yang melibatkan kereta yang dipandu Muhd Afiq Safwan Bin Zalidin, 27 tahun, dan pejalan kaki, warga emas perempuan berusia 61 tahun, yang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia sehari kemudian.

Sehubungan dengan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan semua pemandu dan pejalan kaki untuk meningkatkan kewaspadaan dan mematuhi undang-undang jalan raya di samping mengutamakan sikap sabar dan bertolak ansur.