4 lagi perdengarkan bacaan

4 lagi perdengarkan bacaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Seramai empat lagi peserta daripada kategori Menghafaz Juz 30 Al-Quran serta pemahaman juz 20 hari ini memperdengarkan bacaan masing-masing di Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta pemahamannya bagi peringkat negara anggota MABIMS tahun 1436H.

Hadir menyaksikan musabaqah yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pagi tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid.

Pada tahun ini, seramai lapan peserta yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan dari negara-negara MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura telah mendaftar menyertai musabaqah ini.

Peserta yang bertanding hari ini ialah daripada kategori Menghafaz Juz 30 Al-Quran serta pemahaman juz 20 yang terdiri daripada Awang Irma Mohammad Hazmie bin Haji Metussin dari Negara Brunei Darussalam, Badrut Taman Achmad dari Republik Indonesia, Farihah binti Zulkifli dari Malaysia dan Muhammad Ilyas bin Mohammad Asraff dari Republik Singapura.

Yang Berhormat Pengiran Dr Haji Mohammad semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Yang Berhormat Pengiran Dr Haji Mohammad semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad dalam ucapannya menjelaskan, Institut Tahfiz Al-Quran dalam kurikulumnya telah menggabungkan pengajian akademik, pengajian ugama, Bahasa Arab dan hafazan Al-Quran.

Ini adalah satu usaha untuk mengetengahkan hafazan Al-Quran sebagai teras pendidikan agar umat Islam yakin bahawa belajar di institut ini tidak akan merugikan anak-anak mereka, sebaliknya beruntung kerana mendapat asas ilmu duniawi dan ukhrawi dengan terasnya hafazan Al-Quran.

“Hasilnya, selepas tertubuhnya institut ini kehidupan masyarakat Islam di Brunei semakin bermakna dan meriah dengan sinaran Al-Quran yang sebelumnya tidak begitu dirasakan. Demikian juga kemunculan pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran telah memberi warna dan menyumbang khidmat kepada suka duka masyarakat Islam di negara ini.”

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, semenjak kewujudan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, institut ini telah berjaya mengeluarkan ramai huffaz yang pada asalnya          hanya seorang sahaja di negara ini pada awal tahun 1990-an.

Namun sekarang bilangan itu telah sedang berkhidmat di dalam pelbagai bidang khususnya keagamaan di tengah-tengah masyarakat.

Antara salah seorang peserta yang ikut pertandingan itu, kelmarin.
Antara salah seorang peserta yang ikut pertandingan itu, kelmarin.

“Alhamdulillah, kita mengharapkan agar minat masyarakat untuk menghantar anak-anak menghafaz Al-Quran akan berterusan kerana produk-produk hafiz Al-Quran yang kita lahirkan jauh lebih berharga dari sebarang produk-produk pembangunan yang bersifat lahiriah semata-mata.”

Musabaqah ini adalah bertujuan untuk membantu mencapai visi dan misi MABIMS di samping mewujudkan kerjasama di kalangan negara anggota MABIMS dalam bidang pengajian dan penyebaran Al-Quran.

Selain itu, ia turut mengeratkan hubungan integrasi terutama dalam bidang Al-Quran dalam menyatukan perpaduan ummah melalui Al-Quran yang menjadi sumber kejayaan dan kegemilangan di dunia dan akhirat serta merangsang generasi muda dan belia ke arah penerimaan Al-Quran dari aspek penjagaan hafazan dan penghayatan Al-Quran. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada hakim-hakim Musabaqah.

Keputusan pertandingan bagi tempat pertama, kedua dan ketiga akan diumumkan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun 1436H yang akan diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu, 17 Ramadan bersamaan 3 Julai 2015.