4 lagi produk kosmetik tercemar

4 lagi produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Empat lagi produk kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan hasil daripada ujian makmal Bahagian Kawalan Kualiti Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Produk-produk berkenaan adalah, tiga jenis produk AZ Cosmetic by Azma iaitu 100% Original-Day Cream dan 100% Original-Night Cream yang dicemari dengan merkuri dan 100% Original-Treatment Cream yang dicemari dengan Hydroquinone dan tretinoi, manakala itu, satu lagi adalah produk krim yang berlabel dengan bahasa asing pada bekas berwarna merah dan putih, yang mana produk ini juga didapati dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Krim yang berlabel dengan bahasa asing dan dalam bekas berwarna merah dan putih.
Krim yang berlabel dengan bahasa asing dan dalam bekas berwarna merah dan putih.

Penggunaan Merkuri dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan, yang mana tahap Merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Manakala itu, Hydroquinone dan tretinoin pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan menekankan, pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Day Cream,  AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Night Cream dan AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Treatment Cream.
AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Day Cream, AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Night Cream dan AZ Cosmetic by Azma 100% Original-Treatment Cream.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Manakala itu, orang ra-mai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk ber-kenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA