4 lelaki disy...

4 lelaki disyaki anggota IS, dihukum mati

BAGHDAD, 18 Dis – Anggota militia puak pro kerajaan Iraq terus menghukum mati empat lelaki yang disyaki menjadi anggota kumpulan Islamic State (IS) di utara negara itu, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) hari ini.

Kumpulan hak asasi itu berkata pembunuhan itu berlaku pada 29 November berhampiran kampung Shayalat al-Imam, terletak kira-kira 70 kilometer selatan Mosul, bandar Iraq terakhir yang diduduki IS yang menjadi sasaran operasi tentera besar-besaran yang dilancarkan dua bulan lalu.

HRW memetik para penduduk sebagai berkata bahawa pasukan keselamatan Iraq hadir bagi sekurang-kurangnya satu penghukuman mati itu tetapi tidak cuba campur tangan.

“Kerajaan Iraq seharusnya menjelaskan bahawa militia-militia yang disokong kerajaan tidak ada kebenaran untuk menganiaya atau menghukum mati tawanan tanpa mengira apakah kesalahan yang difikirkan telah dilakukan oleh mereka itu,” Lama Fakih, penolong pengarah Timur Tengah HRW, berkata dalam satu kenyataan.

Menurut HRW, para penduduk Shayalat al-Imam berkata para anggota militia mengarahkan mereka berhimpun di kawasan terbuka di selatan kampung itu.

Mereka telah melihat para anggota militia membunuh seorang lelaki bernama Ahmed, yang abangnya berkata dia baru saja menyertai IS tetapi kemudian telah meninggalkan kumpulan pejuang jihad itu dan telah kembali kepada keluarganya.

Para penduduk juga berkata mereka melihat mayat tiga orang lagi lelaki yang telah dalam tahanan kumpulan paramilitari, tetapi tidak menyaksikan penghukuman bunuh mereka, menurut HRW.

Pemerhati hak asasi itu memetik seorang ketua masyarakat sebagai berkata para anggota militia adalah dari kumpulan yang dikenali sebagai Hashed al-Jabour, yang bermakna mereka adalah anggota puak Jabour, Iraq. – AFP