4 lelaki disyaki perompak ditembak mati

4 lelaki disyaki perompak ditembak mati

KUCHING, 1 Jan (Bernama) – Polis menembak mati empat lelaki awal pagi ini yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga rompakan bersenjata dilaporkan di Bintulu, bulan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata insiden itu berlaku dalam pukul 1 pagi semasa tiga pasukan D9 sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, kira-kira 600km dari sini, berikutan beberapa rompakan yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata semasa rondaan, pasukan itu ternampak empat lelaki yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta Toyota Vios dan sejurus mereka menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu memecut ke arah Miri.

“Kereta itu kemudian membelok ke dalam ladang kelapa sawit, Ladang Maskat di Km 42 Jalan Bintulu-Miri. Pasukan polis terus mengejar kereta itu sehingga ia terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata apabila pihak polis menghampiri kenderaan itu, kemudian polis mendengar beberapa tembakan dipercayai daripada selaras senapang patah dari kereta itu, dan polis membalas tembakan ke arah kereta suspek.

Muhammad Sabtu berkata, beberapa anggota polis mengejar suspek apabila melihat dua lelaki keluar dari kereta dan bergegas ke ladang kelapa sawit tetapi apabila mereka hampir tiba di ladang itu mereka berpusing balik dan cuba menyerang anggota polis.

“Seorang daripada mereka melibas sebilah parang dan seorang lagi sebilah sabit. Polis menembak mati mereka untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan taktikal polis selepas itu mendapati kesemua empat lelaki itu mati selepas polis melepaskan tembakan.

“Seorang suspek rebah di kerusi pemandu, suspek kedua ditemui di tempat duduk penumpang dengan senapang patah di sisi tubuhnya. Dua lagi suspek berada tidak berapa jauh daripada kereta dengan parang dan sabit di sisi tubuh masing-masing,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan memecah rumah, sebilah parang dan beberapa jam tangan dipercayai daripada rompakan awal manakala Toyota Vios yang digunakan mereka dilaporkan hiang di Bintulu pada Julai 2015.

“Tiada dokumen pengenalan dijumpai pada suspek, yang disyaki terlibat dalam tiga rompakan bersenjata di Bintulu pada 25 Disember, dan terakhir pada 29 Disember,” katanya.

Muhammad Sabtu juga berkata kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes di Miri dan Sibu tahun lepas.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak atas kejayaan pasukan D9 yang telah berada di Bintulu sejak sebulan lepas untuk mengumpul maklumat risikan dan menjejaki kumpulan itu.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas atas kejayaan itu.