4 lelaki terlibat dadah diberkas

4 lelaki terlibat dadah diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Empat lelaki tempatan telah ditangkap, dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dan pembekalan dadah di negara ini, dalam dua kejadian berasingan di Daerah Brunei dan Muara (DBM) dan Daerah Belait sepanjang minggu kedua bulan September tahun ini.

Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada 10 September 2016, hasil kerjasama Pasukan Interdiksi Kebangsaan Lapangan Terbang (Airport Interdiction National Task Force) telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang merupakan salah seorang penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.

Hasil pemeriksaan ke atas bagasi subjek telah menjumpai dua bungkusan daun-daun kering yang dipercayai dadah terkawal jenis ganja dengan jumlah berat 418.81 gram. Bungkusan tersebut dirampas bersama dengan beberapa kotak rokok yang tidak diisytiharkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk dicukai.

Menurut BKN, suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan membawa masuk dadah terkawal ke Negara Brunei Darussalam dan jika sabit kesalahan, hukuman minima bagi kesalahan Seksyen 5 bagi dadah Ganja yang tidak melebihi 500 gram adalah penjara selama 20 tahun dan 15 kali sebatan, manakala itu hukuman maksima adalah penjara 30 tahun dan 15 kali sebatan.

Jika dadah tersebut melebihi 500 gram, maka hukumannya adalah gantung sampai mati.

Antara peralatan yang dirampas dalam kes yang melibatkan tangkapan tiga lelaki tempatan di Daerah Belait.
Antara peralatan yang dirampas dalam kes yang melibatkan tangkapan tiga lelaki tempatan di Daerah Belait.

Sementara itu, pada 15 September 2016, BKN telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun di sebuah kediaman di perumahan Panaga Seria, Daerah Belait kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Menurut kenyataan itu, hasil peme-riksaan telah menjumpai tiga paket plastik jernih mengandungi pecahan kristal yang dipercayai dadah Syabu dengan berat keseluruhannya sebanyak 34.8 gram serta satu alat timbangan digital, beberapa plastik kosong dipercayai bertujuan untuk pembungkusan dadah, alat perkakas untuk memakan dadah terka-wal dan juga wang tunai yang disyaki hasil daripada penjualan dadah berjumlah $419.

Pada masa ini, ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki dadah terka-wal bagi tujuan mengedar, Seksyen 6(b) iaitu kesalahan memakan dadah terkawal dan juga Seksyen 7 iaitu kesalahan memiliki alat perkakas untuk memakan dadah terkawal.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 3A, hukuman maksima adalah penjara selama 30 tahun dan 15 kali sebatan.

Menurut BKN lagi, dalam kedua-dua kejadian tersebut, nilai dadah yang dirampas adalah dianggarkan sebanyak $13,000 dalam pasaran gelap.

Sehubungan itu, BKN dalam kenyataannya turut mengucapkan terima kasih kepada ahli Pasukan Interdiksi Kebangsaan Lapangan Terbang yang telah memainkan peranan penting dalam sama-sama berusaha untuk membanteras kemasukan dadah haram ke Negara Brunei Darussalam.

Dalam hubungan ini juga, pihak BKN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah dengan menghubungi telefon 2448877 (waktu pejabat) dan talian hotline 8777444 (selepas waktu bekerja).

ARTIKEL YANG SAMA