4 mangsa culik masih hidup

4 mangsa culik masih hidup

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan empat rakyat Malaysia yang diculik lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, 1 April lalu masih hidup.

Katanya, ketika ini pihaknya masih meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa Filipina dalam usaha membebaskan semua mangsa tersebut.

“Demi keselamatan mereka, saya tidak mahu ulas (lanjut), tapi kita ikuti perkembangannya dan akan meneruskan rundingan dan mengambil langkah-langkah yang perlu demi keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2016 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Ditanya sama ada pihak penculik ada membuat tuntutan wang tebusan, Khalid bagaimanapun enggan mengulas mengenainya kerana bimbang akan menjejaskan keselamatan mangsa culik terbabit.

Empat mangsa rakyat Malaysia yang diculik itu adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Mereka antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.