4 mangsa culik tiba di Sibu

4 mangsa culik tiba di Sibu

SIBU, 14 Jun (BERNAMA) – Empat rakyat Sarawak, yang dibebaskan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 8 Jun lepas, tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 8:45 pagi tadi.

Sebelum sempat dipeluk dan dicium oleh anggota keluarga masing-masing, keempat-empat mangsa culik itu dikerumuni anggota media yang turut menantikan kepulangan mereka sejak hari mereka dibebaskan.

Namun, usaha menemu bual mereka tidak berhasil kerana kesemua lelaki segera dibawa ke kereta yang diletakkan di luar bangunan lapangan terbang.

Para pemberita kemudian mengikuti dua beradik Wong Teck Kang, 31 dan Wong Teck Chii, 29, serta sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, ke rumah mereka di kawasan kediaman Pulau Li Hua di sini.

Bapa dua beradik itu, Wong Chie Ming, yang mengiringi mereka dalam perjalanan dari Kota Kinabalu berkata mereka hanya bersedia untuk bercakap kepada media esok.

Imej yang diambil menggunakan kamera telefon bimbit menunjukkan warga Sarawak yang dibebaskan dari kiri: Wong Teck Chii, Wong Hung Sing, Johnny Lau Jung Hien dan Wong Teck Kang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu dari Kota Kinabalu. – Bernama
Imej yang diambil menggunakan kamera telefon bimbit menunjukkan warga Sarawak yang dibebaskan dari kiri: Wong Teck Chii, Wong Hung Sing, Johnny Lau Jung Hien dan Wong Teck Kang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu dari Kota Kinabalu. – Bernama

“Mereka telah ditemu bual oleh polis sejak tiba di Sandakan. Mereka letih sekarang. Biarlah mereka berehat dulu,” katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu dijamu dengan ‘mee sua’, sejenis mi sup ayam sebagai tanda panjang umur dan bagi membuang nasib malang.

Sementara itu, di rumah Wong Hung Sing, 34, di Jalan Umpi Rantai di sini, anggota keluarganya kelihatan begitu gembira dan terharu dengan kepulangannya.

Bapa Hung Sung, Wong Si Thong berkata keluarga mereka akan mengadakan jamuan kesyukuran nanti.

Empat lelaki berkenaan menaiki pesawat MasWing Penerbangan MH3183, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 7 pagi, dan kemudian diiringi dua anggota polis berpakaian biasa ke rumah masing-masing.

Mereka diculik di Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lepas.