4 maut helikopter terhempas di Nigeria

4 maut helikopter terhempas di Nigeria

LAGOS, 13 Ogos – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan enam yang lain cedera apabila sebuah helikopter dalam perjalanan pulang dari pelantar minyak terjunam ke dalam lagun di hab komersial Lagos di Nigeria semalam.

Helikopter enjin berkembar Sikorsky, yang dimiliki Kumpulan Bristow yang berpangkalan di Amerika Syarikat, terhempas di belakang sebuah balai polis di kawasan Oworonshoki di utara bandar berkenaan, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA). Dua orang masih hilang, katanya.

“Setakat ini empat mayat sudah ditemui,” kata jurucakap NEMA, Ibrahim Farinloye, sambil menambah bahawa mangsa yang cedera sudah dikejarkan ke dua buah hospital.

“Usaha masih diteruskan untuk mengesan saki baki penumpang selain bangkai pesawat helikopter berkenaan,” kata pejabat Gabenor Negeri Lagos, Akinwunmi Ambode dalam satu kenyataan.

Serang saksi memberitahu saluran berita Channels TV bahawa helikopter mengeluarkan bunyi bising sebelum bahagian depannya menjunam ke dalam air 12 kilometer berhampiran Jambatan Third Mainland, yang paling panjang dari tiga jambatan menghubungkan Pulau Lagos dengan tanah besar.

Syarikat Bristow mengeluarkan ke-yataan yang mengesahkan nahas berkenaan sambil berkata helikopter sudah pun mendekat Lapangan Terbang Murtala Muhammed ketika kejadian berlaku.

“Pesawat Sikorsky S-76C+, dalam perjalanan pulang dari pelantar menggerudi. Maklumat awal menunjukkan pesawat membawa 10 penumpang dan dua anggota krew,” kata kenyataan itu. – AFP