4 maut kereta bertembung

4 maut kereta bertembung

KOTA TINGGI, 25 Dis (Bernama) – Empat orang termasuk tiga sekeluarga dari Singapura maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dan terbakar di atas jambatan Sungai Dohol, Km63.5, Jalan Johor Baharu-Mersing, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kejadian kira-kira pukul 7:10 pagi itu membabitkan sebuah Land Rover bernombor pendaftaran Singapura dan sebuah Toyota Corolla dengan nombor pendaftaran tempatan.

Katanya pemandu Toyota Corolla yang maut dikenal pasti sebagai Noor Haryanti Safiai, 30, seorang juruteknik manakala identiti tiga warga Singapura yang maut itu masih belum dikenal pasti.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Land Rover dari Johor Baharu itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok kiri jambatan dan kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Corolla,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rahmat berkata akibat daripada pertembungan itu, kedua-dua kenderaan telah terbakar yang mengakibatkan tiga sekeluarga menaiki Land Rover dan Noor Haryanti, rentung.

Beliau berkata seorang kanak-kanak berusia lingkungan empat tahun dalam kereta Land Rover itu berjaya diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu untuk rawatan.

Sementara itu, bapa Noor Haryanti, Safiai Mohamad, 60, berkata, anaknya itu berlepas dari rumah mereka di Sungai Ara pada kira-kira 6:30 pagi untuk ke tempat kerja di Permas Jaya.

“Ibunya masih trauma sebaik menerima berita kemalangan ini malah agak terkilan kerana arwah tidak sempat menjamah nasi goreng yang dimasaknya pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini.

Katanya Noor Haryanti tinggal dan bekerja di Permas Jaya, Johor Baharu manakala suaminya Mohd Yusof Jamil, 30, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan berada di Kuala Lumpur kerana bertugas di luar kawasan.

Menurut Safiai, Noor Haryanti pulang ke Sungai Ara petang semalam untuk menziarahinya bersama-sama dua adiknya, Noor Amaliah, 28, dan Noor Najihah, 23, serta dua anaknya, Nornisa Ariyana, 3, dan Norhana Arisa, 2.

Jenazah Noor Haryanti dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felcra Sungai Ara, di sini, petang ini, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA