4 maut ketika Saudi ‘gagalkan’ serangan ke atas masjid Syiah

4 maut ketika Saudi ‘gagalkan’ serangan ke atas masjid Syiah

RIYADH, 29 Mei (AFP) – Sebuah kereta meletup di luar sebuah masjid Saudi semasa solat Jumaat telah membunuh empat orang, termasuk pemandunya, dalam satu serangan yang ‘digagalkan’ oleh pihak berkuasa, menurut kementerian dalam negeri.

“Pihak berkuasa berjaya menggagalkan jenayah pengganasan yang menyasarkan orang ramai ketika melaksanakan solat Jumaat di sebuah masjid di Al-Anoud di Dammam,” bandar Wilayah Timur, menurut jurucakap kementerian yang dipetik oleh Agensi Akhbar Saudi.

Letupan itu meledak ketika pegawai keselamatan mendekati kereta berkenaan ketika ia dipandu ke sebuah lot letak kereta berhampiran masjid Syiah, menurut jurucakap.

“Apabila mereka menuju ke arahnya, ia meletup dan membunuh empat orang, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dipercayai adalah pemandunya,” menambah bahawa kenderaan berhampiran turut terbakar.

Letupan itu merupakan yang kedua dalam masa seminggu selepas pengeboman bunuh diri berlaku ke atas sebuah masjid Syiah semasa solat Jumaat di sebuah kampung di Wilayah Timur yang membunuh 21 orang.

Pihak berkuasa telah mengatakan serangan pada 22 Mei itu telah dilakukan oleh militan dari kumpulan Islamic State (IS), yang mendakwa bertanggungjawab.