4 pasukan mara ke separuh akhir

4 pasukan mara ke separuh akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Pasukan Perkasa, Pasukan Belait B, Pasukan Ehzid Team dan Pasukan Sengkurong menempah tempat di perlawanan separuh akhir kejohanan sepak takraw 21 tahun ke bawah terbuka kali keempat, Tahun 2015 yang diadakan di Kompleks Sukan Menglait hari ini.

Keempat-empat pasukan berkenaan mencatatkan kejayaan dalam perlawanan terakhir di peringkat kumpulan hari ini untuk terus mara ke peringkat seterusnya yang bakal diadakan pada 15 Januari nanti.

Juara bertahan, Pasukan Sengkurong akan melayani Pasukan Ehzid Team di separuh akhir nanti selepas pasukan berkenaan berjaya menewaskan Pasukan Belait A dengan mata 21-13, 21-13.

Pasukan Ehzid pula membelasah Pasukan BTTJ FC dan memastikan kemaraan mereka di peringkat seterusnya itu dengan mata 6-21, 14-21.

Antara aksi hebat dalam perlawanan itu.
Antara aksi hebat dalam perlawanan itu.

Pasukan Perkasa pula setakat ini belum mencatatkan sebarang kekalahan dan kini giliran Pasukan Belait C untuk menerima penangan pasukan itu apabila terpaksa akur dengan kekalahan 8-21, 19-21 untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Perkasa akan melayani wakil tunggal Daerah Belait, Pasukan Belait B yang mempamerkan permainan menarik apabila mengalahkan Pasukan Muara Spurs dengan mata 21-12, 21-10.

Perlawanan peringkat separuh akhir akan berlangsung pada jam 2:45 petang di tempat sama dan diteruskan dengan perlawanan akhir, sekali gus menentukan siapakah jaguh kejohanan bersempena dengan sambutan Hari belia Kebangsaan 2015 itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA