4 pasukan rebut tempat Liga DST

4 pasukan rebut tempat Liga DST

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Empat buah pasukan akan berentap dalam ‘Play-off’ Liga Satu Pusingan untuk merebut dua kuota terakhir 11 pasukan Liga Perdana DST Brunei 2016.

Pasukan-pasukan itu ialah dua pasukan terbawah Liga Perdana DST 2015 iaitu Tunas FC dan Perkasa FC, Juara Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 dan Juara Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015, dedah Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali.

“Keputusan diambil untuk mengadakan ‘Play-off’ Liga Satu Pusingan itu adalah supaya kedua-dua pasukan juara liga daerah itu dapat membuktikan mereka layak bersaing dalam liga kedua tempatan itu dengan menentang dua pasukan terbawah liga terbabit musim lalu, di samping membuka peluang kepada Tunas FC dan Perkasa FC kekal dalam liga itu.”

Awal dalam temubual bersama Media Permata berkenaan, Awang Dayem menyatakan bahawa Musim Liga Bolasepak DST Brunei 2016 akan menyaksikan 10 buah pasukan bersaing dalam Liga Super manakala 11 buah pasukan lagi akan berentap dalam Liga Perdana.

Beliau menjelaskan 10 buah pasukan dalam Liga Super DST Brunei 2016 sudah diketahui iaitu lapan pasukan teratas Liga Super DST musim lalu dan dua pasukan teratas Liga Perdana DST 2015.

Awang Dayem ketika ditemu bual oleh media.
Awang Dayem ketika ditemu bual oleh media.

Lapan pasukan teratas Liga Super DST 2015 ialah MS ABDB (juara bertahan), Indera SC, Najip I-Team, Tabuan Muda, Wijaya FC, Jerudong, MS PDB, dan Lun Bawang, manakala dua pasukan teratas Liga Perdana DST 2015 yang layak menyertai Liga Super DST Brunei 2016 ialah Kota Ranger FC dan Kasuka FC.

Bagi Liga Perdana DST Brunei 2016, sembilan buah pasukan sudah pun diketahui iaitu dua pasukan terbawah Liga Super DST 2015 iaitu IKLS FC dan Kilanas FC dan tujuh buah pasukan yang menduduki tangga ketiga hingga kesembilan Liga Perdana DST 2015 iaitu Tabuan B-17 (musim lalu Tabuan B-18), Panchor Murai FC, BSRC FT, BESA FC, Mengelait FC, Rimba Star FC dan Setia Perdana.

Menurut Awang Dayem, untuk mencukupkan kuota 11 buah pasukan Liga Perdana DST Brunei 2016, maka dua pasukan lagi akan dipilih melalui kelayakan ‘play-off’ liga satu pusingan empat pasukan sebagaimana diterangkan di atas tadi.

Empat piala akan menjadi rebutan di sepanjang Musim Liga Bolasepak DST Brunei 2016 dari Mac hingga November 2016 ini iaitu Piala Sumbangsih DST Brunei 2016, Piala FA DST Brunei 2016, Piala Pusingan Liga Super DST Brunei 2016 dan Piala Pusingan Liga Perdana DST Brunei 2016, ujarnya.

Dalam jadual yang sudah dikeluarkan oleh NFABD, Liga Super DST Brunei 2016 akan berlangsung dalam sembilan minggu pada hari Sabtu dan Ahad saja bermula dengan minggu pertama pada 12 dan 13 Mac nanti sehingga minggu sembilan pada 23 dan 24 Julai nanti.

Sementara bagi Liga Perdana DST Brunei 2016, perlawanan dijadualkan berjalan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saja dalam jadual 11 Minggu bermula dengan minggu pertama pada 11, 12 dan 18 Mac sehingga minggu kesebelas pada 29, 30 dan 31 Julai nanti.

Musim Liga Bolasepak DST Brunei 2016 akan membuka tirainya pada 5 Mac ini dengan Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 antara MS ABDB dengan Indera SC, yang dijadualkan berlangsung di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA