4 pegawai TUDB terima lencana juruterbang

4 pegawai TUDB terima lencana juruterbang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Empat pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah berjaya menamatkan latihan mereka dan dianugerahkan dengan lencana juruterbang di Markas Tentera Udara Diraja Brunei, hari ini.

Hadir menyampaikan lencana juruterbang tersebut ialah Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dengan disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan dan pegawai TUDB serta ahli-ahli keluarga penerima lencana.

Penerima-penerima lencana juruterbang berkenaan ialah 1023 Lt (U) Mohd Nazmi bin Nasrudin dan 1026 Lt (U) Mohd Aliff bin Haji Zulkifli, yang mana kedua-duanya telah menamatkan kursus Latihan Penerbangan Pengenalan dan Single Engine Rotary Wing di RAF Cranwell dan RAF Shawbury, United Kingdom.

Juga menerima lencana juruterbang ialah 1091 Lt (U) Abdul Haqim bin Haji Yahya dan 1097 Lt (U) Muhd Harith bin Haji Edin yang mana kedua-duanya telah menamatkan kursus Initial Entry Rotary Wing dan UH60A/L Blackhawk Track di Fort Rucker, Alabama, Amerika Syarikat.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bergambar ramai bersama penerima-penerima lencana juruterbang.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bergambar ramai bersama penerima-penerima lencana juruterbang.

Para penerima lencana ini akan meneruskan kerjaya penerbangan operasi mereka di No.1 Wing.

1097 Lt (U) Muhd Harith ketika ditemu bual berkongsi kisah beliau dalam mencapai impian untuk menjadi seorang juruterbang, menurutnya, beliau bermula dari askar muda (boyswing) dan menyertai kadet tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebagai seorang juruteknik pesawat.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar menyampaikan lencana juruterbang kepada penerima, 1023 Lt (U) Mohd Nazmi.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar menyampaikan lencana juruterbang kepada penerima, 1023 Lt (U) Mohd Nazmi.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar menyampaikan lencana juruterbang kepada penerima, 1097 Lt (U) Muhd Harith.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar menyampaikan lencana juruterbang kepada penerima, 1097 Lt (U) Muhd Harith.

Dalam mencapai impiannya, beliau pada waktu yang sama berjaya menamatkan kursus Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Kejuruteraan Pesawat untuk menyertai Sekolah Pegawai Kadet dan sehingga kini diberi peluang untuk menjalankan kursus keluar negara untuk menjadi seorang juruterbang ABDB yang mengambil masa lebih 11 tahun untuk mencapainya.

Katanya lagi, kursus selama 10 bulan bermula Oktober tahun lalu adalah dengan mengikuti pembelajaran kursus asas menerbangkan helikopter dan seterusnya mempelajari kursus lebih tinggi iaitu menerbangkan pesawat BlackHawk yang mengambil masa empat bulan di Amerika Syarikat.

“Pengalaman di Amerika Syarikat berjalan dengan lancar, mempunyai kelengkapan yang lengkap dan mempelajari pelajaran sedikit berlainan dengan pembelajaran di Brunei. Kami juga dinilai dari segi akademik dan cara menerbangkan helikopter mengikut kriteria ditetapkan,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA