4 pelajar PTES sertai program di S’pura

4 pelajar PTES sertai program di S’pura

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Empat orang pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), petang tadi, telah berlepas ke Singapura bagi menyertai Program STEP-NUS Sunburst Brain Camp 2016 di mana ia berlangsung selama tujuh hari sehingga 11 Jun.

Rombongan pelajar berkenaan terdiri daripada Awangku Abdul Hadi bin Pengiran Hamdillah, Awang Muhammad Arif bin Kamal Hisham, Dayang Nor Izzatul Afiqah binti Yusof dan Dayang Reisydah binti Haji Abdul Hamid dengan diiringi oleh pegawai pendidikan PTES, Dayang Ilzam binti Haji Zainulabidin.

Program anjuran Singapore Technologies Endowment Programme (STEP) dengan kerjasama NUS ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan mendidik pelajar-pelajar sekolah menengah mengenai kajian otak di samping memahami fungsi-fungsi otak dan penyakit-penyakitnya.

Selain itu, ia juga untuk memupuk hubungan persahabatan di antara pelajar-pelajar di luar negeri seperti India, Jepun, Sri Lanka dan Korea Selatan.

Sepanjang program itu, para pelajar akan diberikan peluang untuk menyampaikan pembentangan dan menyediakan kajian mengenai penyakit ‘Parkinson’, menyertai bengkel-bengkel di samping mengadakan lawatan ke tempat yang berkaitan dengan kajian mereka.

Dayang Reisydah (dua, kiri) dan Dayang IIzam (tengah) bergambar ramai bersama pelajar lain.
Dayang Reisydah (dua, kiri) dan Dayang IIzam (tengah) bergambar ramai bersama pelajar lain.

Ketua rombongan, Dayang Reisydah semasa ditemui pihak media menjelaskan bahawa program ini memberikan peluang kepada para pelajar yang berminat dalam bidang sains neurosains untuk membuat kajian secara lebih mendalam mengenai fungsi otak dan yang berkaitan dengannya.

Sepanjang program ini para peserta dari negeri-negeri lain juga akan mendengarkan ceramah-ceramah khas di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), tambah beliau.

Beliau menjelaskan lagi bahawa sebelum program ini, mereka telah dikehendaki untuk menyediakan kertas penyelidikan dan membentangkan kertas penyelidikan itu berdasarkan kepada topik penyelidikan yang diberikan kepada setiap negara yang kemudiannya dihantar kepada pihak penganjur.

Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan, melalui pengalaman menyertai program itu, beliau akan dapat meningkatkan lagi minat dalam bidang neurosains dan berkongsi ilmu bersama dengan rakan-rakan mereka di sekolah nanti.

 

ARTIKEL YANG SAMA