4 pelajar timba kemahiran di AS

4 pelajar timba kemahiran di AS

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Empat orang pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS), petang tadi, berlepas ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikuti program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP) ke-7 yang akan berlangsung sehingga 30 April.

Menerusi program berkenaan, Awang Muhammad Noorakma bin Abdullah Alinoor, Awang Aiman bin Dato Haji Ahmad, Awang Abdul Mu’iz bin Mahali dan Goh Yi Xuan yang diiringi seorang guru pengawas, Dayang Nurulhazwa binti Haji Hasheim, akan mempelajari mengenai pendidikan sivik, kepimpinan, diversifikasi dan sukarelawan di AS, di mana para peserta akan melaksanakan projek untuk memberi khidmat masyarakat.

Program aktiviti akan diadakan secara interaktif supaya para peserta dapat belajar kemahiran-kemahiran yang akan digunakan semasa berada di rumah bersama keluarga dari AS dan mengambil pelbagai peluang untuk berinteraksi dengan belia-belia AS dan para pendidik.

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Negara AS di bawah Universiti Northern Illinois, DekKalb, IL Campus, Chicago dan diselaraskan oleh Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam itu bertujuan bagi meningkatkan pembelajaran berkualiti dalam kepimpinan, tanggungjawab sivik dan mempelajari kemahiran baru yang diperlukan untuk memberi perkhidmatan masyarakat.

(Kiri ke kanan) Awang Muhammad Noorakma, Awang Aiman, Dayang Nurulhazwa, Goh Yi Xuan dan Awang Abdul Mu’iz bergambar ramai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
(Kiri ke kanan) Awang Muhammad Noorakma, Awang Aiman, Dayang Nurulhazwa, Goh Yi Xuan dan Awang Abdul Mu’iz bergambar ramai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Selain rombongan Negara Brunei Darussalam, negara-negara ASEAN lain turut menghantar rombongan merangkumi 60 orang keseluruhannya dalam program yang sama.

Sebelum berlepas, para pelajar yang dipilih diberi latihan awal dalam menjalankan penyelidikan mengikut tiga topik yang disediakan iaitu Pemuliharaan Persekitaran, Kumpulan terdedah dan Pendidikan.

Mereka juga mengikuti aktiviti kerja kumpulan termasuk kerjasama, tanggungjawab, amanah, saling menghormati dan kepimpinan. Tambahan lagi, para pelajar juga dilengkapi pengetahuan mengenai Brunei Darussalam melalui penyampaian secara individu.

Selepas program berakhir nanti, para pelajar dikehendaki untuk menulis laporan dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka bersama rakan dan sekolah mereka. Selain itu, mereka juga harus menjalankan projek yang berkaitan dengan pengalaman mereka di AS.