4 pelajar UBD berlepas ke AS

4 pelajar UBD berlepas ke AS

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Institut Pengajian Dasar (IPS) Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghantar 11 pelajar kohort kedua program Sarjana Dasar Awam dan Pengurusan (MPPM) untuk meneruskan semester ketiga bersama rakan sekolah dasar di Amerika Syarikat (AS).

Sekolah-sekolah dasar berkenaan termasuk McCourt School of Public Policy, Georgetown University; School of Public Policy, University of Maryland; Sanford School of Public Policy, Duke Unviersity; dan Goldman School of Public Policy, University of California, Berkeley.

Empat daripada pelajar berkenaan, iaitu Haji Mohammad Asme bin Haji Amit, Awang Mohammad Ede Fadle bin Haji Shamsu, Dayang Masitah binti Hassan dan Dayang Nur Nasuha Amalina binti Tajuddin telah berlepas ke AS, hari ini.

Manakala itu, tujuh yang lain, Nastasia Kotylo, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin, Risnawati Dirgoharjoso, In Sovanpol, Pancho Cicero Castro Cortez, Long Keodalya dan Awang Naruddin bin Manap akan berlepas pada tarikh kemudian, dengan penerbangan seterusnya 9 Januari ini.

Semasa di AS, para pelajar berkenaan juga akan berpeluang menyertai lawatan sambil belajar selama dua minggu ke Washington D.C di mana mereka akan bertemu wakil-wakil dari institusi pembuat dasar penting termasuk House of Congress, kumpulan pemikir dasar dan sektor-sektor bukan berasaskan keuntungan.

Antara 11 pelajar kohort kedua program MPPM yang berlepas awal ke AS.
Antara 11 pelajar kohort kedua program MPPM yang berlepas awal ke AS.

Salah seorang pelajar berkenaan, Awang Mohammad Ede Fadle semasa ditemui sebelum berlepas ke AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei berkata, semester ketiga ini mereka diberi peluang untuk membuat kajian di AS dan di sana nanti mereka berpeluang untuk mempelajari dan memahami lagi mengenai pentadbiran, pengurusan dan subjek yang berkaitan dengan dasar awam.

Beliau melahirkan harapan agar apa yang dipelajari di sana nanti akan dapat digunakan di Brunei Darussalam dalam tugas masing-masing. Selain itu, pembelajaran itu juga akan disesuaikan dengan keadaan di Brunei Darussalam.

“Apa yang diharap bagi pelajar-pelajar Brunei di Amerika Syarikat untuk memberikan imej baik dan berusaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang dari padakami semua,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MPPM merupakan program rentas disiplin yang unik dengan menumpukan ke atas bidang-bidang dasar khusus kepada Brunei Darussalam iaitu pentadbiran Islam, Dasar dan Pengurusan Tenaga, serta Dasar dan Pengurusan Alam Sekitar.

Ia merupakan program selama 18 bulan, yang mana para pelajar akan menjalani pengajian selama 12 bulan di UBD dan satu semester di salah satu rakan sekolah dasar IPS di AS.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 20 November 2012, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sidang Kemuncak Asia Timur ke-7 di Phnom Penh, telah mengumumkan mengenai penganugerahan 10 biasiswa MPPM setiap tahun kepada anggota negara Sidang Kemuncak Asia Timur.

Kohort pertama program itu telah berjaya menamatkan pengajian pada September 2015 dengan lima daripada mereka mencatat pencapaian cemerlang.

ARTIKEL YANG SAMA