4 penunggang motosikal negara berjaya harungi cabaran

4 penunggang motosikal negara berjaya harungi cabaran

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Empat penunggang motosikal veteran tempatan yang mewakili Kelab Veteran Riders Brunei dan Kelab Freelance Biker berjaya merentasi sempadan dalam satu ekspedisi bermotosikal bagi menyertai Pesta Motosikal Samarahan 2016 diadakan di Kota Samarahan, Sarawak Malaysia.

Perjalanan mereka sejauh 1,500kilometer pada 22 September lalu tanpa membawa peralatan kecemasan memberi cabaran kepada mereka, kata ketua ekspedisi, Awang Mu’adz bin Haji Abdul Hamid. Turut serta dalam ekspedisi itu ialah Pengiran Badar bin Pengiran Haji Bungsu, Awang Suhaili bin Ahim dan Pengiran Anak Hanafiah bin Pengiran Anak Omarali yang merupakan penunggang paling senior berumur 66 tahun.

Bercakap dalam satu bual dengan Media Permata di sini, beliau berkata, meskipun sudah memasuki usia warga emas, mereka gembira kerana dapat melakukan ekspedisi tersebut dan memberi satu motivasi untuk meneroka perjalanan yang lebih jauh.

“Selain mengharungi perjalanan berliku-liku dalam keadaan cuaca panas dan hujan, kami juga perlu menjaga kesihatan masing-masing dalam perjalanan yang mengambil masa selama hampir 13 jam untuk sampai ke destinasi.

“Perjalanan bermula dari jam 6 pagi dari Brunei Darussalam menuju ke Kota Samarahan itu bukan sahaja memenatkan tetapi begitu mencabar dengan keadaan lalu lintas yang sibuk terutama lori-lori yang menggunakan jalan yang sama, kekurangan minyak, penglihatan yang kurang jelas akibat cuaca dan lain-lain lagi.

Sesi bergambar ramai penunggang motosikal negara semasa berada di Kota Samarahan.
Sesi bergambar ramai penunggang motosikal negara semasa berada di Kota Samarahan.
Awang Mu’adz menyampaikan cenderamata kenangan kepada Awie dari kumpulan Wings (kanan).
Awang Mu’adz menyampaikan cenderamata kenangan kepada Awie dari kumpulan Wings (kanan).

“Ketahanan mental dan fizikal benar-benar teruji. Alhamdulillah, dengan disiplin dan keyakinan kepada diri serta doa restu Allah Subhanahu Wata\ʼala kami berjaya menuju ke lokasi tanpa sebarang masalah berlaku.”

Selain mempamerkan motosikal mereka itu antaranya Honda F6B Goldwing 1800cc, Honda Integra di Pesta Motosikal 2016, mereka juga berpeluang untuk beramah mesra bersama ahli lainnya dan menyampaikan cenderamata kenangan kepada Awie dari kumpulan Wings selaku penyanyi undangan pada pesta tersebut.

Beliau menyarankan kepada penunggang motosikal di negara ini, jika membuat perjalanan jauh agar berhemah, mengikut peraturan jalan raya dan menjaga keselamatan masing-masing bagi mengingatkan orang tersayang.

“Saya juga ingin merakamkan tanda terima kasih kepada Kelab Veteran Riders Brunei dan Kelab Freelance Biker yang mengalu-alukan kedatangan kami ke tanah air di Jerudong Park pada 25 September. Insya Allah kami bercadang akan mengadakan ekspedisi bermotosikal ke Sandakan, Sabah dan Sampit, Indonesia di masa hadapan,” kata Mu’adz.

ARTIKEL YANG SAMA