4 produk dicemari bahan terlarang

4 produk dicemari bahan terlarang

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Empat lagi produk, satu produk kesihatan dan tiga produk kosmetik, telah didapati dicemari bahan racun berjadual dan ubat-ubatan Barat yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Produk-produk berkenaan ialah Vimax Capsule yang diedarkan oleh Frankfort, MI49635 dicemari dengan Sildenafil, LOVELY-Perfect Whitening & Beauty Cream SPF 25 dan

Ling Zhi-Bleaching Whitening Cream with Pearl Powder dicemari dengan merkuri, manakala itu, Dnars Skincare Normal/Jeragat Pencerahan Semulajadi-Nar Cream yang dikilangkan oleh Rohban Trade Sdn Bhd telah dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit yang mana bahan-bahan pencemar yang terkandung di dalamnya boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Vimax Capsule.
Vimax Capsule.

Penggunaan sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Sementara itu, merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaannya boleh memudaratkan kesihatan dengan pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

ARTIKEL YANG SAMA